Wednesday, 26 July 2017

Tidak lalai dirikan solat...

Daripada Abdul Rahman Ahmad

Walaupun menempuh perjalanan ratusan kilometer setiap hari, lapan peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) tidak lalai daripada menunaikan kewajipan bersolat sejak hari pertama memulakan pengembaraan.
Setiap kali masuk waktu solat, mereka akan berhenti di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai  untuk mendirikan solat.
Tempat letak kereta, surau di gerai, ruang lapang dalam bangunan di kawasan rehat lebuh raya serta kawasan terbuka sering dijadikan tempat untuk bersolat bagi para peserta itu yang kini berada di Dali di China. 
Beralaskan tikar mengkuang, solat dilakukan secara jamak dan berjemaah, diimamkan oleh Zikri Fuad Abdul Salam, 43, serta turut disertai satu-satunya peserta wanita Zuraini Abdul Malek, 36.
Perbuatan mereka itu sering kali menarik perhatian penduduk tempatan dan orang ramai yang kebanyakannya bukan beragama Islam.
Menurut Pengarah Projek KIH, Khir Ariffin, solat amat penting dan perlu dijaga walaupun mereka dalam perjalanan jauh.
Peserta Kembara lazimnya melakukan solat subuh di masjid tempat mereka menginap semalaman jika terdapat masjid di situ seperti di The Grand Mosque of Shadian dan masjid lama di Dong Lian Hua di Dali.
Solat Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isyak didirikan secara jamak qasar, iaitu dihimpunkan kedua-dua waktu solat dalam satu waktu dan solat yang empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat.
Para peserta KIH itu telah seminggu berada di atas jalan melibatkan perjalanan 4,050 kilometer sejak mereka memulakan pengembaraan di Kuala Lumpur pada 18 Julai lepas.
Mereka telah melalui tiga negara, Thailand, Laos dan kini China yang meliputi enam bandar dan bandar raya.
Pengembaraan mereka berbaki 12,000 kilometer yang akan merentasi enam lagi negara sebelum sampai ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan seterusnya menaiki pesawat dari sana ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment