Thursday, 13 July 2017

Konvoi Jelajah 1 Jiwa Bernama tiba di Johor...

Konvoi Jelajah 1Jiwa Bernama meneruskan perjalanan mengikut jadual untuk tiba di Johor pada hari keenam program itu bertujuan menyemarakkan sambutan ulangtahun ke-50 agensi berita nasional itu.
Konvoi 15 buah motosikal berkuasa tinggi itu tiba kira-kira 6.30 petang di pejabat Bernama Biro Johor di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru selepas menempuh perjalanan selama lapan jam dari Kuantan, Pahang.


Ketibaan konvoi yang diketuai wartawan Amrizan Madian disambut wakil ketua biro Johor Suhainie Mohd Khalid dan para petugas lain sebelum disusuli penyampaian sumbangan kepada petugas Bernama Johor.
Suhaninie mengucapkan terima kasih kepada konvoi itu yang tabah menghadapi perjalanan yang panjang untuk mengunjungi biro tersebut.
"Difahamkan rombongan berkonvoi selama enam jam sebelum tiba di Johor Bahru dan saya doakan semoga perjalanan esok ke Melaka selamat tiba dan seterusnya di Wisma Bernama Sabtu ini," katanya.  
Amrizan dalam ucapan beliau berkata konvoi itu, yang memulakan perjalanan pada pukul 10 pagi ini di Kuantan,  singgah selama sejam di Endau, Mersing untuk menikmati makan tengah hari sebelum bergerak ke Johor Bahru.
Konvoi itu juga melalui Bandar di Raja, Pekan di mana mereka mengambil kesempatan bergambar di Muzium di-Raja.  
"Perjalanan konvoi ini lancar dan secara santai dari Mersing menuju Kota Tinggi seterusnya ke Johor Bahru.
"Cuaca juga amat baik sepanjang perjalanan dan kami bernasib baik kerana mengalami hujan bukan ketika berkonvoi, tetapi, ketika makan tengah hari di Endau," katanya.
Amrizan yang mengucapkan terima kasih kepada para petugas Bernama Johor berkata konvoi mereka bermalam di Johor Bahru sebelum menyambung perjalanan ke Melaka, pagi esok.
"Kami berharap konvoi yang hampir penghujung ini akan berjalan lancar ke Melaka dan Negeri Sembilan sebelum tamat di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, Sabtu ini," katanya.
Semasa di Kuantan, Amrizan menyampaikan cenderahati kepada Ketua Biro Bernama Pahang, Noor Shamsiah Mohamad yang mewakili para petugas biro berkenaan.

No comments:

Post a Comment