Thursday, 13 July 2017

Kagum kehebatan Stesen MRT bawah tanah...

Wakil media ternyata kagum dan terpikat dengan kehebatan reka bentuk stesen Transit Aliran Massa (MRT) bawah tanah laluan Sungai Buloh-Kajang apabila mereka berpeluang melawat ke beberapa stesen itu sebelum perkhidmatannya dilancarkan secara rasmi pada Isnin depan.
Luas, artistik dan mengagumkan – itulah perkataan yang dapat diungkapkan bagi menggambarkan stesen berkenaan.
Lawatan bermula dari stesen Muzium Negara di KL Sentral dengan melalui laluan pejalan kaki dan berakhir di stesen Bukit Bintang, yang terletak enam kilometer dari situ.
Selain nilai artistik yang terdapat pada reka bentuknya, bangunan berkenaan luas dan dilengkapi penyaman udara, terang benderang serta mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
Nurhidayah Hairom dari akhbar Sinar Harian berkata beliau berasa kagum apabila memikirkan bagaimana bangunan sehebat itu dapat dibina di bawah tanah.
Katanya walaupun platform stesen itu terletak 24 meter di bawah tanah, namun beliau tidak berasa sesak nafas dan loya.
“Memang terbaik, lagi pun stesen bawah tanah MRT cukup luas dan selesa untuk menampung pengguna yang ramai,” katanya kepada Bernama semasa lawatan itu.
Pengarah Projek Sungai Buloh-Kajang (SBK) Transit Aliran
Massa (MRT) Marcus Karakashian (kanan) memberi penerangan
kepada para wartawan 
Para pengamal media juga diberi peluang menaiki MRT dari stesen Muzium Negara ke stesen Bukit Bintang dan Pasar Seni.
Perjalanannya laju dan mengambil masa hanya enam minit untuk tiba di stesen Bukit Bintang dari stesen Muzium Negara dengan kadar tambang RM1.60 jika  menggunakan kad Touch N’ Go atau RM1.80 jika membayar tunai.
Mohd Fauzi Mohammad Suhaimi dari akhbar Utusan Malaysia pula menyifatkan perkhidmatan itu sebagai memudahkan dan cekap.
Menurutnya perjalanan antara stesen ke stesen mengambil masa yang singkat dan penumpang berasa selesa walaupun tren bergerak pada kelajuan lebih 90 kilometer sejam.
Wan Syamsul Amly Wan Seadey dari stesen penyiaran Astro Awani turut kagum dengan kekerapan perjalanan tren.
Beliau berkata setelah terlepas satu tren, lima hingga enam  minit kemudian, tren lain pula tiba dan terdapat beberapa panel televisyen di platform yang mempamerkan jadual perjalanan sebagai panduan untuk penumpang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan fasa kedua laluan SBK pada 17 Julai ini, yang menyaksikan perkhidmatan tren di keseluruhan laluan sepanjang 51 kilometer bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang.
Fasa kedua perkhidmatan itu mengandungi 19 stesen baharu, dengan tujuh daripadanya terletak di bawah tanah.
Setiap tren bagi laluan SBK mempunyai empat gerabak dan mampu membawa 1,200 penumpang pada setiap perjalanan dengan anggaran penumpang 400,000 sehari.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment