Sunday, 9 July 2017

Teruja melawat Panmunjom...

Editor Foto Adnan Jahaya yang berada di Korea Selatan bagi menghadiri Forum Media bagi Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia [International Conference of Asian Political Parties (ICAPP)] berkongsi catatan berikut:
Saya tidak pernah menduga akan ke Korea Selatan kerana notisnya terlalu singkat.
Apabila tiba di Seoul pada 5 Julai, saya ditanya oleh urusetia International Conference of Asian Political Parties (ICAPP) Media Forum sama ada saya bersedia untuk ke Panmunjom yang terletak di sempadan Korea Selatan dan Korea Utara.
Saya pernah mendengar nama Panmunjom tetapi tidak pernah menyebutnya.
Jadi apabila menerima tawaran itu saya lantas bersedia untuk ke tempat yang dianggap sukar dan penuh dengan tekanan itu.
Lawatan ke Panmunjom tersenarai dalam pakej mesyuarat kali ketiga Forum Media ICAPP yang membincangkan pelbagai perkara terutama berkaitan dengan peranan media dan politik rantau Asia.
Perjalanan dari Seoul ke Panmunjom mengambil masa lebih satu jam dan di pos kawalan berhampiran sempadan, pasukan tentera yang berkawal memasuki bas dan memeriksa pasport seorang demi seorang selain bersoal jawab dengan pegawai kanan ICAPP yang menguruskan perjalanan.
Selepas itu seorang pegawai tentera menaiki bas mengiringi perjalanan dan beliau berkali kali mengingatkan jangan merakam gambar persekitaran sepanjang perjalanan atau semasa berjalan kaki.
Kami semuanya terdiam walaupun teruja untuk merakam gambar yang sukar dilihat.
Bas yang dinaiki kemudiannya diparkir berhampiran pusat maklumat Joint Security Area (JSA) sebelum menaiki kenderaan lain ke sempadan.
Sekali lagi diingatkan tentang larangan mengambil gambar sepanjang perjalanan sehingga kenderaan yang khusus itu berhenti di sebuah bangunan.
Semuanya diarah beratur secara berdua dan diiringi memasuki sebuah bangunan konkrit dan keluar semula mengikut pintu yang berbeda.
Di hadapan pintu itu terlihat beberapa bangunan kecil dengan anggota-anggota tentera yang berkawal.  
Di situ sekali lagi diminta berbaris di sepanjang dataran bangunan dan diminta melihat ke hadapan.  Terdapat beberapa bangunan di situ.
Berdasarkan taklimat oleh seorang anggota pasukan petugas Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bangunan itu terletak betul betul di sempadan Korea Selatan dan Korea Utara.
Di situ dibenarkan merakam gambar dalam tempoh yang terhad serta pergerakan yang terbatas.
Ketika hujan mulai reda saya abadikan kenangan di sempadan itu dan kemudiannya dibenarkan memasuki salah sebuah bangunan yang dikatakan menjadi pusat pertemuan pihak keselamatan Korea Utara dan Korea Selatan untuk berbincang secara berkala.
Tiada apa yang menarik dalam bangunan berwarna biru itu kecuali terdapat meja dan kerusi di sekelilingnya.
Uniknya bangunan kecil itu dibina di atas tapak yang dimiliki dua negara iaitu Korea Utara dan Korea Selatan.
Seorang pegawai secara berseloroh berkata, dalam bangunan itu semua bebas untuk bergerak ke Korea Utara atau Korea Selatan.  
Berbangga dengan baju T Jubli Emas Bernama di Seoul
Ketika keluar daripada bangunan, sempat juga saya menjeling ke arah sebuah sebuah bangunan besar di sebelah Korea Utara dan nampak kelibat manusia di balik cermin jendela yang memerhati.
Hasrat nak merakam gambar bangunan berkenaan bagaikan tersekat.
Apapun beberapa keping gambar yang sempat dirakamkan melalui telefon bimbit tetap amat berharga.
Mungkin saya akan ke Korea lagi tetapi tidak pasti untuk dapat memasuki semula kawasan berkenaan.
Selain itu, saya juga berpeluang melawat Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) yang merintis operasi perkhidmatan penyiaran secara digital sejak 2001.
MBC  diasaskan pada 1961 dengan program radio manakala mulai 1965 mula memperkenalkan siaran televisyen hitam putih sebelum ke  warna mulai 1981.
Kini MBC boleh berbangga kerana menjadi pusat penyiaran terkemuka Korea  yang beroperasi di Digital Media City (DMC) Sangam.

*Beliau dijadualkan pulang esok.

No comments:

Post a Comment