Wednesday, 19 July 2017

Peserta Kembara Inspirasi Haji Bermalam Di Hatyai...


Daripada Abdul Rahman Ahmad

Konvoi Kembara Inspirasi Haji (KIH) 2017 menyambung perjalanan ke Bangkok pagi ini, setelah berehat kurang enam jam setibanya dari Kuala Lumpur tengah malam tadi waktu Thailand.
Mengikut jadual, semua 16 peserta kembara, yang akan melakukan perjalanan 16,000 km merentasi 10 negara, sepatutnya bermalam di Surathani, kira-kira 300 km dari Hatyai, tetapi disebabkan terlalu letih, mereka mengambil keputusan untuk bermalam di Hatyai.
Mereka juga memutuskan untuk menyambung perjalanan awal pagi ini kerana jarak ke Bangkok melebihi 900 km dan mengambil masa lebih 14 jam.
Para peserta singgah iktikaf dan solat duha di Masjid Jamek Songkhla
Peserta kembara terpaksa mengejar masa kerana aktiviti padat yang menanti mereka antaranya melawat Yateem TV, satu rangkaian TV Islam Thai di Bangkok, serta menemui pertubuhan bukan kerajaan Islam Sattachon yang membantu pelarian Islam dari Myanmar, Lubnan, Palestin dan Syria di Thailand.
Walaupun janji temu itu dijadualkan pada Khamis, namun disebabkan perjalanan mengambil masa lebih 14 jam, mereka perlu berada lebih awal di Bangkok untuk membolehkan mereka mendapat rehat secukupnya.
Pada Khamis, mereka dijadualkan melawat Kedutaan Malaysia di Sa Thon Tai Road, Thung Mahamek, Khet Sa Thon sebelum menyambung perjalanan ke Chiangmai untuk menemui komuniti Islam dan melawat masjid terbesar di situ.
Enam belas peserta konvoi KIH anjuran Pertubuhan Kembara Amal (PeKA) itu memulakan perjalanan setelah menunaikan solat subuh di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur , pada Selasa.
Mereka tiba di Hatyai selepas tengah malam tadi setelah menyinggahi beberapa tempat, termasuk melawat Madrasah Darul Tahfiz Waal Ulum, Seberang Jaya, Pulau Pinang, dan menyampaikan sumbangan kepada pihak pengurusannya yang menempatkan 120 pelajar perempuan berusia antara 11 dan 20 tahun yang diwajibkan berpurdah.
Pengarah projek KIH, Khir Ariffin yang berpuas hati dengan perjalanan kembara setakat ini berkata: "Kami amat bersyukur kerana pihak pengurusan madrasah itu mahu menerima kita kali ini setelah beberapa kali menolak permintaan kita untuk melawat sekolah dan pelajarnya."
Konvoi kembara itu turut mempunyai penyokong tegar yang sanggup mengekori mereka menggunakan kenderaan sendiri dari Kuala Lumpur.
Menurut sepasang suami isteri, mereka amat berminat untuk menyertai kembara itu tetapi atas beberapa sebab mereka tidak dapat berbuat demikian.
"Kami amat berminat untuk menyertai kembara ini kerana selain melakukan ibadah haji, peserta turut terlibat dengan kerja amal. Itulah cantiknya kembara ini yang kita tidak tahu akan ada lagi atau tidak pada masa depan," kata Enze Azrul Amam, 43.
Mereka mengikuti konvoi itu dengan sebuah kereta sedan sehingga ke Hatyai dan akan berpatah balik ke Kuala Lumpur hari ini.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment