Monday, 24 July 2017

Meja Foto akhiri Syawal dengan rumah terbuka...

Hari ini berakhirnya bulan Syawal dan Meja Foto mengambil kesempatan saat akhir itu dengan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri.
Majlis diadakan secara sederhana dan dirancang dalam waktu yang singkat selepas tujuh tahun tidak diadakan.  
Menunya juga agak sederhana iaitu nasi dagang, laksa, bihun goreng, roti jala dan kueh mueh selain minuman.
Walaupun tiada paparan jemputan di skrin atau email namun pengumuman mengenai rumah terbuka disebarkan satu jam sebelum diadakan melalui pembesar suara manakala ada yang telah dimaklumkan lebih awal secara peribadi oleh para petugas. 
Meja Foto bersyukur dengan sambutan amat menggalakkan dan ia berjalan mengikut jadual iaitu bermula pukul 3 petang dan berakhir pukul 5 petang.
Antara yang hadir termasuk Pengurus Besar, Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang, Datuk Zakaria Abdul Wahab dan ketua-ketua bahagian di Wisma BERNAMA.
Meskipun berlangsung rumah terbuka namun operasi harian Meja Foto tidak terjejas kerana para petugas tetap dengan tanggungjawab mereka menyiapkan kerja sebelum bersama-sama menyambut para tetamu.
Sejak pagi persiapan mengadakan rumah terbuka dilakukan oleh para petugas yang sebahagian besarnya berada di pejabat.
Rumah terbuka kali ini juga agak istimewa kerana turut dihadiri oleh bekas Ketua Jurufoto, Rosli Hurmin yang telah lebih 10 tahun tidak mengunjungi Meja Foto selepas bersara.
"Saya berjanji akan datang semula ke sini selepas 10 tahun bersara dan kini saya tunaikan.  Saya melihat perubahannya," kata Rosli.
Apa pun rumah terbuka Meja Foto tetap menyuburkan ikatan silatulrahim di kalangan warga Wisma BERNAMA. 
Walaupun 1 Syawal adalah hari yang indah namun akhir Syawal tidak kurang dengan kemurniannya.



Laporan dan foto Adnan Jahaya

No comments:

Post a Comment