Wednesday, 12 July 2017

Petugas veteran Bernama gembira dihargai...

Wan Azmi
Empat veteran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kelantan gembira dapat bertemu peserta Konvoi Jelajah 1Jiwa Bernama yang sedang dalam program menjelajah ke seluruh Semenanjung.
Mereka ialah pesara bahagian pentadbiran Wan Azmi Che Jaafar, 57, bekas pemberita sambilan Hanapi Mat, 62, Md Nasir Rani, 63, serta pemberita sambilan Wan Muhammad Wan Adam, 70.
Wan Azmi berkata program tersebut penting bagi merapatkan hubungan antara kakitangan di Ibu Pejabat Bernama dan warga biro Bernama di negeri terutama golongan veteran.
"Saya berterima kasih dan berbangga kerana masih dihargai terutamanya bila terlibat dalam program ini selepas dua tahun bersara sebagai kakitangan bahagian pentadbiran Bernama," katanya selepas turut sama menyambut ketibaan konvoi berkenaan di Pejabat Biro Bernama Kelantan di Kota Baharu malam tadi.
Hanapi
Ketibaan 24 peserta konvoi pada pukul 8 malam, disambut Ketua Biro Bernama Kelantan Mohamad Bakri Darus dan kakitangan biro berkenaan.
Konvoi 15 motosikal berkuasa tinggi yang berlepas dari ibu pejabat Bernama di Kuala Lumpur pada Sabtu lepas, turut disertai empat kereta dalam misi menziarahi untuk menemui dan menyampaikan sumbangan kepada anggota veteran agensi tersebut di seluruh negara.
Hanapi berkata kunjungan peserta konvoi berkenaan walaupun hanya sekejap menzahirkan semangat perpaduan dan kasih sayang sesama staf baharu dan veteran agensi berita negara ini.
Md Nasir
"Setidak-tidaknya kami boleh berjumpa dengan rakan-rakan di ibu pejabat dan mengenali rakan-rakan baharu," katanya, yang sebelum diserang penyakit angin ahmar merupakan pemberita sambilan Bernama TV (sekarang Bernama News Channel) sejak 1997 hingga 2014.
Md Nasir, yang pernah berkhidmat sebagai jurukamera TV, turut menghargai usaha konvoi itu.
"Saya masuk Bernama tahun 1997 dan kemudian setelah Bernama TV mula beroperasi di Kelantan, saya terlibat secara langsung sebagai jurukamera TV dengan menggunakan betacam.
"Selama empat tahun, saya terlibat merasai pahit maung waktu itu,"kata Md Nasir, yang kemudiannya menumpukan kepada liputan berita am.   
Wan Muhammad
Bakri berkata biro itu berterima-kasih atas kunjungan konvoi itu dan mendoakan perjalanan seterusnya selamat dan berjaya.
Sementara itu, Chef de Mission, Amrizan Madian berkata konvoi tersebut, yang diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-50 Bernama, akan melawat setiap Biro Bernama negeri bagi menghargai sumbangan anggota veteran dan kakitangan agensi tersebut.
"Program ini adalah antara cara kita merapatkan hubungan antara staf di negeri dengan kakitangan di ibu pejabat," katanya.
Beliau berkata jelajah konvoi itu mendapat kerjasama kelab Benelli Biker dan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, yang julung kali diadakan, bagi memberi penerangan mengenai peranan sebenar Bernama dalam melaporkan isu-isu semasa dalam dan luar negara untuk kepentingan rakyat Malaysia.
Pagi ini, peserta konvoi meneruskan penjelajahan ke Terengganu dan seterusnya ke Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Bakri

No comments:

Post a Comment