Friday, 28 July 2017

Nekad panggil Obama...

Jika tidak kerana tindakan pantasnya, jurufoto Bernama, Mazlan Samion mungkin tidak dapat merakamkan detik Presiden Barack Obama bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu persidangan berprofil tinggi.
Malah, beliau nekad memanggil Obama supaya berpaling ke arah kamera bagi mendapatkan sudut yang baik untuk foto itu.
Ketika itu merupakan mesyuarat Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii pada 13 Nov 2011.
“Masa tu persidangan dah tamat, jadi bodyguard-bodyguard Presiden memang begitu strict dan dia suruh kita keluar.
“Bila nak keluar tu, saya nampak dia akan bersalam dengan PM, saya dah sampai ke pintu, jadi saya cakap kepada bodyguard ‘tolonglah, saya nak ambil gambar dia bersalam’.
“Dia bagi sikit aja tapi masa tu Obama angle tak bagus, kebelakang,” katanya dalam segmen ‘Inspirasi Pagi’ program NINE11 yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama News Channel (BNC) pagi ini.
“Ketika itu juga saya fikir macam-macam…saya dah sampai di sini dan Bernama dah belanja beribu-ribu.
“Hasil saya buat kajian dengan photographer-photographer, saya beranikan diri…Alhamdulillah tercapai, memang rasa puas saya dapat shot itu,” katanya selepas disiarkan visual sedutan perisitwa itu dalam program tersebut.
Jelas kedengaran menerusi visual itu Mazlan memanggil “Mr President” sebanyak tiga kali membuatkan Obama menoleh kepadanya semasa bersalam dengan Najib. 
“Kepuasannya tak boleh dibayangkan,” kata Mazlan mengenai foto itu yang disiarkan muka hadapan akhbar-akhbar tempatan.
“PM sendiri tegur saya: “Berani awak panggil Presiden ya”,” kata Mazlan, 42.
Beliau menjelaskan bahawa tugasan itu berbentuk ‘high-profile’.
“Bila kita pergi assignment di luar negara, kita adalah satu-satunya jurufoto yang mewakili semua agensi media Malaysia.
“Mereka akan ‘pick-up’ gambar kita dan kita perlu bagi yang terbaik, go all-out.
“Macam saya, akan buat homework, kadang-kadang rujuk buku tapi kita kena bersedia dari segi peralatan, fizikal dan mental.
“Assignment itu bukan  berbentuk bilateral iaitu one-to-one yang lebih mudah untuk kita (rakam gambar) tapi ia berbentuk conference (persidangan) – ramai jurufoto, ramai pemimpin,” katanya.
Mazlan telah memenangi banyak anugerah fotografi sepanjang kerjayanya dengan Bernama sejak 13 tahun lepas termasuk Anugerah Kewartawanan Malaysia anjuran Institut Akhbar Malaysia.
Terkini ialah memenangi  tempat pertama dalam pertandingan fotografi 'Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara' anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), yang diumumkan pada 14 Julai lepas.
Ketika diminta memberikan ‘tips’ kepada wartawan dan jurufoto untuk mengatasi rasa malu dan takut ketika melakukan tugasan, Mazlan berkata mereka harus mempunyai semangat dan minat terhadap kerja.
“Kita perlu ada passion, minat bukan sahaja untuk bidang kita ini tetapi apa jua bidang.
“Kalau kita minat, kita mesti buat yang terbaik.
“Dalam mindset kita, kita akan berusaha untuk membuat sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orangramai, masyarakat dan kita akan all-out.
Dalam kewartawanan, katanya foto yang dirakam adalah ‘real’ (sebenar), tidak boleh dibuat-buat atau diulang.
“Kita ada etika yang perlu diikuti, tak boleh diedit,” kata Mazlan yang telah membuat pelbagai tugasan dalam dan luar negara.
Selain foto Obama itu, antara tugasan lain yang terpahat dalam ingatannya ialah serangan pengganas di Lahad Datu dan kejadian gunung runtuh di Filipina.
“Selepas setahun peristiwa Lahad Datu, saya hasilkan rencana dan keluarkan gambar yang saya kumpul selama setahun…Alhamdulillah banyak akhbar yang menggunakannya,” katanya.
Ditanya mengenai keperluan jurufoto menambah ilmu, beliau berkata: “ Ilmu datang apabila kita belajar tetapi yang mematangkan kita adalah pengalaman.
“Pengalaman mengajar saya untuk berdepan dengan subject matter, dan kita lebih bersedia, yang penting kena buat ‘study’,” katanya.   
“Kami jurufoto di Bernama bukan sahaja setakat ambil gambar tetapi juga diajar menulis berita dengan elemen 5W 1H.
“Kita kena tanam dalam minda bahawa dalam apa jua assignment, kita kena ambil detail. Apabila pulang ke ofis selepas tugasan, kita akan buat kapsyen bagi tugasan berbentuk berita.
 “Bernama memberikan platform yang luas di mana kita dilatih untuk mencari story-story sendiri dan di sinilah peranan kami sebagai photojournalist lebih terserlah,” katanya.


No comments:

Post a Comment