Saturday, 29 July 2017

Kembara Inspirasi Haji jadi tarikan di China...

Daripada Abdul Rahman Ahmad

 Setiap kali dua kenderaan membawa lapan peserta Kembara Inspirasi Haji melalui jalan bandar di wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu di China, mereka pastinya menjadi perhatian penduduk setempat.
Para peserta singgah di Masjid
Lao Shu Chuan di wilayah Gansu
Malah, ada yang sanggup memberhentikan kereta semata-mata untuk menyapa peserta kembara dan bertanyakan mengenai kehadiran mereka.
Tarikan itu berikutan kedua-dua kenderaan dipenuhi pelekat logo penaja serta peta laluan negara-negara yang direntasi sepanjang pengembaraan mereka ke Tanah Suci.
Ada  juga penduduk yang mengerumuni kedua-dua kenderaan untuk melihat peta perjalanan dan logo-logo penaja itu.
Ramai yang tertarik dengan kehadiran peserta kembara kerana amat jarang sekali mereka menerima warga asing melintasi kampung dan bandar mereka.
Masalah komunikasi menjadi penghalang kepada peserta kembara yang tidak tahu berbahasa Mandarin manakala penduduk pula tidak fasih berbahasa Inggeris menyebabkan sukar untuk  menyampaikan maklumat mengenai pengembaraan itu.
Peserta kembara terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk menyampaikan maksud dan ada yang menggunakan telefon bimbit bagi membuat rujukan bahasa Mandarin menerusi Internet.
Bagaimanapun, kehadiran seorang pegawai pelancong China, Andy Yuan, menjadi penghubung antara penduduk dan peserta yang begitu ghairah untuk menyampaikan maklumat mengenai pengembaraan mereka yang melibatkan perjalanan 16,000km.
Setakat ini, mereka sudah melakukan perjalanan sejauh lebih 6,000km melintasi Thailand, Laos serta wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu di China. Mereka akan berada di China sembilan hari lagi.
Menurut Pengarah Projek Kembara Inspirasi Haji, Khir Ariffin, sambutan daripada masyarakat China menunjukkan mereka amat berminat untuk mengetahui tentang kembara berkenaan.
"Kita rasa amat bangga kerana warga China sama ada mereka beragama Islam atau tidak, menunjukkan minat terhadap pengembaraan kita,” katanya ketika singgah di bandar Hui Chuan dalam wilayah Gansu.
Destinasi peserta kembara seterusnya ialah di Lanzhou, bandar utama dalam laluan sutera di wilayah Gansu dan di sana nanti mereka akan menziarahi komuniti Islam dan masjid atas air serta masjid Xiguan berusia 649 tahun.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment