Friday 1 December 2017

Dr Muhammad Afifi terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul...

Pensyarah Bidang Pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2017.
Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara malam tadi.
Dr Muhammad Afifi menerima wang tunai RM50,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.
Ketika ditemui pemberita kemudian, beliau berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai golongan ilmuwan Islam dan ulama daripada kalangan pelajar yang cemerlang dalam semua mata pelajaran ketika di peringkat sekolah menengah dan universiti.
"Dulu ada persepsi bahawa golongan ulama ini adalah pelajar yang gagal di peringkat Siji Pelajaran Malaysia (SPM) atau sekolah menengah.
"Justeru kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi harus memberi galakan kepada pelajar cemerlang untuk memilih jurusan pengajian Islam ke arah melahirkan lebih ramai ilmuwan dan intelektual Islam," katanya.
Beliau turut meminta golongan ulama dan ilmuan Islam memainkan peranan dalam membersihkan imej Islam yang diberi gambaran buruk oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, anugerah yang diterimanya itu merupakan satu tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah Islam di seluruh dunia.
Dr Muhammad Afifi berkata antara perkara yang telah dilakukannya ialah mengeluarkan tulisan dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris mengenai penentangan terhadap pengeboman.
“Kita seharusnya menjadi duta atau wakil dari Nusantara untuk mengajar bahawa Islam yang dipelajari di Nusantara ini sepatutnya boleh dimanfaat di seluruh dunia Islam,” katanya.
Dalam pada itu, lapan individu lagi menerima Anugerah Maulidur Rasul.
Mereka ialah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Yaakub Md Amin; Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji di Tabung Haji Datuk Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz; dan bekas Duta Malaysia ke Mesir Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.
Penerima lain ialah Pengerusi Yayasan Murni Aqidah Datuk Aidit Ghazali; Pengarah Eksekutif International Shariah Research Academy Prof Dr Mohamad Akram Laldin; Ahli Panel Pemikir Dakwah Negara Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; Profesor di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Datin Dr Raihanah Abdullah dan ahli astronomi Dr Nur Adlyka Ainul Annuar.
Mereka dipilih berdasarkan kepada sumbangan mereka dalam memperkasakan syiar Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment