Wednesday 6 December 2017

Lawatan balas dapat mantap hubungan media Malaysia-Thailand...

Penganjuran lawatan oleh Kelab Media Kedamaian Selatan Thailand ke Malaysia khasnya ke Perak perlu disusuli dengan lawatan balas sebagai usaha untuk memantapkan lagi persefahaman antara media kedua-dua negara.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang berkata inisiatif itu juga dapat memberi pemahaman jelas mengenai situasi semasa khususnya kehidupan umat Islam di selatan Thailand.
"Maka harus ada tindakan susulan, lawatan balas bukan hanya lawatan sekali sahaja...malah akan datang, wartawan dari Malaysia pula ke sana (selatan Thailand) dan saya sendiri akan ikut sama.
"Dengan adanya lawatan balas kita dapat saksikan dengan mata kepala sendiri kehidupan masyarakat di selatan Thailand,”katanya.
Azman berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan malam Jalinan Muhibah Kelab Media Kedamaian Selatan Thailand dan Media Utara Malaysia (Perak) serta Anugerah Media Terbaik Sempena Musim Durian Kampung Gajah 2017 di Ipoh malam ini.
Cadangan lawatan balas itu disambut baik oleh Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan, Suphanat Sirunthawinati yang berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin.
"Kita mesti terima hakikat media adalah organisasi yang menjalin hubungan antara negara selain penting dalam mempromosikan apa yang berlaku," katanya.
Pada majlis itu, Azman turut menyampaikan  Anugerah Berita Televisyen Terbaik kepada TV3 dan Anugerah Akhbar Terbaik yang dimenangi oleh Harian Metro masing-masing menerusi laporan berkaitan musim durian Kampung Gajah.
Pada 18 Nov lalu, lebih 10 pengamal media menyertai program Perkampungan Perak Agro Tourism Media Tiga Negara — Malaysia, Thailand dan Indonesia, sempena musim durian di Kampung Gajah.
Program anjuran bersama Institut Agro Usahawan dan Perak Agro Tourism (Patro) milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu diadakan selama tiga hari di Kompleks Desa Warisan Institut Agro Usahawan (iGrow)  di Pasir Salak.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment