Sunday 3 December 2017

Sambutan meriah Malam Deepavali...

Kira-kira 100 kakitangan kaum India dari Bernama dan keluarga mereka menyambut meriah Malam Deepavali yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara malam ini.
Acara tahunan itu yang diadakan sejak 2014 dimeriahkan dengan kehadiran Presiden Makkal Sakthi Datuk R. S. Thanenthiran selaku tetamu kehormat. Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Semasa berucap, Datuk Zakaria menggalakkan kakitangan kaum India meneruskan tradisi menyambut Deepavali demi mengukuhkan hubungan dengan rakan sekerja dari kaum lain.
"Saya berharap semoga lebih banyak acara seperti ini diadakan oleh kakitangan kaum India dan melalui acara ini, hubungan antara kakitangan akan terus kukuh,” kata beliau.
Pengerusi penganjur acara Jeyakumar Athimulan mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu bagi memastikan kejayaan acara tersebut.
Kemuncak malam itu ialah acara cabutan bertuah yang menyaksikan beberapa kakitangan memenangi hadiah percutian dengan semua perbelanjaan dan tiket penerbangan ke Chennai dan Jaipur di India ditanggung manakala yang lain memenangi hadiah telefon bimbit, kamera dan penginapan hotel.
Dua daripada kakitangan Bernama yang akan bersara tidak lama lagi iaitu Durga Varma Sreenivasan, Editor Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Perkhidmatan Ekonomi Bernama dan Jaiarajo Lechuman dari Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Perkhidmatan Berita Dalam Negeri juga diraikan pada majlis itu.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment