Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama) perlu bersedia mendepani cabaran serta tranformasi dalam industri
media konvensional masa kini yang berdepan dengan persaingan media baharu
termasuk media sosial.
Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang
berkata sebagai pembekal berita, agensi tersebut perlu menyesuaikan dengan
perubahan dan cabaran yang dihadapi oleh pelanggan-pelanggannya dengan
idea-idea baharu.
Beliau berkata revolusi digital telah
mengubah cara media cetak dan media elektronik menyampaikan informasi dan
pembaca sudah mengubah ‘selera’ mereka untuk memperoleh berita, justeru agensi
itu perlu lebih kreatif dan inovatif agar terus kekal relevan pada masa akan
datang.
"Saya berharap dengan adanya idea
yang baharu kita boleh bergerak dengan lebih baik dan maju,” katanya ketika
berucap pada majlis jamuan malam Hari Keluarga Bernama 2017 anjuran Kelab
Kakitangan Bernama di Pulau Pangkor malam ini.
Hadir sama Ketua Pengarang Bernama, Datuk
Zakaria Abdul Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri,
Datuk Mokhtar Hussain yang juga presiden kelab itu, Ketua Penyunting Bahasa
Inggeris, M. Govind Nair dan Pengarah Operasi, Bernama News Channel (BNC),
Hakimi Zuffrida Mohd Zin.
Sementara itu, Mokhtar berkata hari
keluarga tersebut dapat menjalin silaturahim dan semangat setiakawan dalam
kalangan kakitangan dan ahli keluarga agensi berita nasional berkenaan.
Seramai 235 petugas bersama keluarga
masing-masing menyertai program dua hari itu di Puteri Bayu Beach Resort,
dengan tema ‘Semalam di Pantai Bogak’.
Pelbagai acara diadakan termasuk ‘walk
hunt’, pertandingan karaoke dan cabutan bertuah untuk peserta.
Hari Keluarga Bernama 2017 turut mendapat
tajaan, antaranya, daripada syarikat telekomunikasi, Lautan Variasi Sdn Bhd (
LVSB), ‘Lost World of Tambun’, Movie Animation Park Studios (MAPS), Public
Bank, Bank Rakyat dan resort tersebut.
No comments:
Post a Comment