Tuesday 12 December 2017

Syarikat telekomunikasi taja sambutan Hari Keluarga Bernama...

Syarikat telekomunikasi, Lautan Variasi Sdn Bhd (LVSB) , menaja RM5,000 bagi sambutan Hari Keluarga Bernama yang akan diadakan di Perak hujung minggu ini.
Pengarah Urusan LVSB Syed Nasir Hussin Syed Peer menyerahkan replika cek tajaan itu kepada Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia  (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh pada satu majlis di Wisma Bernama hari ini.
Mengulas mengenai tajaan tersebut, Syed Nasir Hussin  berkata tajaan julung kali itu akan membuka ruang  kerjasama antara LVSB dan Bernama sebagai rakan media untuk jangka masa panjang.
“Saya harap hubungan ini berterusan dan kita telah rancang pelbagai projek untuk tahun depan yang kini dalam proses perbincangan. Kita akan umumkan projek-projek tersebut apabila tiba masa kelak,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan replika cek tajaan itu.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain yang juga Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) yang turut hadir pada majlis itu melahirkan penghargaan kepada pihak LVSB atas kesudian menaja dan menjadikan Bernama sebagai rakan media syarikat tersebut.
“KKB amat bertuah menerima tajaan berjumlah RM5,000 untuk bantu anjur Hari Keluarga yang kita mahu raikan kakitangan Bernama selepas setahun bekerja keras,” katanya.
Beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan menyumbang buah-buahan tempatan untuk acara tersebut.
Hari Keluarga Bernama akan diadakan di Puteri Bayu Beach Resort Pasir Bogak, Pulau Pangkor, Perak akan dimeriahkan hampir 300 peserta terdiri daripada 80 kakitangan Bernama dari pelbagai jabatan bersama keluarga masing-masing.
Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang dua hari program dwitahunan itu antaranya sukaneka, cabutan bertuah, mengelilingi pulau, ‘snorkeling’, makan malam dan karaoke.
Setiap peserta dikenakan bayaran antara RM150 hingga RM180.
Tema tahun ini adalah ‘Semalam di Pasir Bogak’.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment