Wednesday 20 December 2017

'Jasa' filem pendek terbaik kemerdekaan 2017 BNC

Filem pendek berjudul 'Jasa' yang dihasilkan sekumpulan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) memenangi tiga daripada lapan anugerah pada Festival Filem Pendek dan Anugerah Skrip Drama Radio Hari Kemerdekaan 2017 anjuran Bernama News Channel (BNC).
Filem itu, hasil karya sekumpulan lapan penuntut Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM Puncak  Perdana di Selangor, mengisahkan seorang doktor yang membalas jasa bapa pesakit kanak-kanak yang dirawatnya.
Mereka membawa pulang geran bernilai RM50,000, sebuah kamera Nikon DSLR, trofi serta sijil penghargaan.
Filem berkenaan turut merangkul Anugerah Skrip Filem Terbaik menerusi Muhamad Hadli Hairudin dan Anugerah Pelakon Lelaki Filem Pendek Terbaik menerusi Pak Uda.
Semasa ditemui selepas majlis penyampaian anugerah itu di Wisma Bernama hari ini, produser  filem berkenaan, Nur Hamira Mat Desa, 23, berkata idea pembikinan filem itu digarap hasil perbincangan dan cambahan idea setiap anggota kumpulan demi menepati tema ‘Sehati Sejiwa’ yang ditetapkan penganjur pertandingan itu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi  Bernama Datuk Seri Azman Ujang,  Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain dan pengarah filem tempatan Datuk Zulkifli M Osman.
Sementara itu, Zulkefli dalam ucapannya berkata meskipun pertandingan itu merupakan acara amatur, namun sambutan menggalakkan diterima daripada peserta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara.
"Penganjuran pertandingan ini merupakan langkah permulaan dalam memupuk semangat cintakan negara serta perpaduan dalam masyarakat selain menaikkan martabat industri filem tempatan melalui pendedahan awal dalam menyampaikan mesej kemerdekaan melalui penghasilan filem pendek," katanya.
Beliau berharap pada masa depan, Bernama dapat menganjurkan pertandingan yang lebih besar selain pemenang  menjadikan pertandingan itu sebagai platform untuk lebih berjaya di peringkat seterusnya.
Festival filem itu ditaja oleh Nikon Malaysia, Instaweb, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Utusan Karya Sdn Bhd.
Pertandingan dari 10 Julai hingga 31 0gos itu menerima 60 penyertaan dengan enam filem dipilih ke peringkat akhir.
Pertandingan itu menyaksikan Anugerah Pengarah Filem Terbaik dimenangi oleh Ryout A Ujin, yang turut memenangi Anugerah Suntingan Terbaik. 
Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pula dimenangi Kimberly Ng, Anugerah Sinematografi Terbaik (Zulfaiz Shamsudin) dan Anugerah Jurukamera Terbaik (Mohd Hani Fikri Jaafri).
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment