Percikan bunga api berwarna-warni
menghiasi ruang angkasa ibu negara dan beberapa lokasi di seluruh Malaysia
sebaik sahaja jarum jam melepasi 12 tengah malam sekali gus menandakan
bermulanya tahun baharu 2018.
Malaysia menyertai dunia menyambut
kedatangan tahun baharu dengan suasana yang cukup meriah dengan beberapa acara
diadakan di seluruh negara yang disertai ribuan rakyat berbilang kaum dan
agama.
Di ibu negara, ribuan termasuk pelancong
asing menyambut 2018 di beberapa lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka, Kuala
Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang, Menara Kuala Lumpur dan Mutiara
Damansara Commercial Centre (MDCC).
Orang ramai mula membanjiri
kawasan-kawasan berkenaan seawal 8 malam yang sebelum itu telah dihiburkan
dengan pelbagai persembahan yang disediakan pihak penganjur sambutan yang
rata-rata terdiri daripada pihak swasta seperti pancuran air bercahaya dan
konsert.
Bersama kegembiraan dan sorakan
"Selamat Tahun Baharu" dan "Happy New Year" yang mengiringi
kedatangan 2018, tersemat 1,001 pengharapan dalam kalangan rakyat agar tahun
ini menjadi lebih baik berbanding tahun lepas.
Pekerja swasta, Muhammad Afiq Syahmi, 25,
yang ditemui Bernama di Bukit Bintang di sini berkata bagi tahun 2018 beliau
berharap agar ekonomi negara akan bertambah stabil dan kukuh dalam semua sektor
dalam negara.
"Sekarang ini pun kita sudah dapat
menyaksikan pemulihan mata wang ringgit yang kini sudah kembali kukuh, kita
harap perkara ini boleh berterusan tahun hadapan bagi membawa negara ke depan
setanding dengan kuasa ekonomi dunia yang lain," katanya yang hadir ke
Bukit Bintang bersama keluarganya seawal 6 petang.
Pegawai perhubungan awam, Lee Pei Yuenn,
26, berkata tahun 2018 diharap dapat membuka satu lembaran baharu dalam
memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini.
"Kita sudah hidup dalam satu
masyarakat besar sejak dulu lagi dan baru-baru ini kita semua tahu ada
pihak-pihak yang cuba mengganggu kesepaduan ini, 2018 ini kita harap rakyat
lebih sensitif mengenai perkara yang melibatkan kaum dan agama," katanya.
Sambutan tahun baharu di MDCC dimulakan
dengan MDCC Fun Run Countdown Run sejauh 5km pada 9 malam dan peserta
mengenakan baju berwarna oren terang untuk memeriahkan parti 2018 MDCC Annual
Countdown Party yang terletak di antara IKEA dan The Curve, sebelum menunggu
acara kemuncak persembahan bunga api terbesar selama 10 minit sebaik sahaja
tengah malam.
Di PUTRAJAYA, pusat pentadbiran kerajaan
persekutuan bermandikan cahaya dengan pertunjukan bunga api digital menghiasi
bangunan Istana Kehakiman, sekali gus menghiburkan kira-kira 500,000 pengunjung
yang hadir meraikan malam detik Ambang Tahun Baharu 2018.
Pertunjukan bunga api digital menggunakan
teknik kreatif, resolusi tinggi serta sistem bunyi dan kandungan visual yang
diterapkan dipancarkan serentak dengan tembakan bunga api secara langsung
mengambil masa lima minit itu diadakan sempena penutupan Festival Light and
Motion Putrajaya (LAMPU) yang telah berlangsung di Dataran Putrajaya sejak
Khamis lepas.
Penutupan acara bertujuan mempromosikan
Putrajaya sebagai bandar perintis di Malaysia yang menerapkan elemen
pencahayaan bersistematik dan dinamik khususnya dalam aspek penggunaan
teknologi terkini dan penjimatan tenaga itu diserikan dengan kehadiran Presiden
Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail.
Di MELAKA, Sambutan Ambang Tahun Baharu
2018 diadakan di Dataran 1Malaysia Klebang yang dihadiri Ketua Menteri Melaka,
Datuk Seri Idris Haron serta ribuan rakyat. Antara aktiviti yang disediakan
ialah pertandingan sukan rakyat, kejohanan Muay Thai, demo memasak, persembahan
artis jemputan, persembahan kebudayaan, pelancaran Kalendar Acara Pelancongan
Melaka 2018 dan pertunjukan bunga api.
Idris dalam ucapanya berkata rakyat
Melaka perlu meningkatkan iltizam, membina keazaman dan keyakinan diri demi
mencapai matlamat ke puncak jaya serta menjadikan tahun 2018 lebih baik
berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Di PERAK, hujan renyai di sekitar bandar
raya Ipoh tidak menghalang lebih 10,000 orang menghadiri sambutan ambang Tahun
Baharu 2018 di Dataran Bandaraya Ipoh anjuran kerajaan negeri dan Tourism Perak
yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan serta artis terkemuka tanah air
termasuk Datuk Jamal Abdillah.
Turut menjadi tumpuan warga bandar raya
Ipoh adalah taman tema Lost World of Tambun yang dibanjiri kira-kira 20,000
pengujung manakala di Dataran Menara Condong Teluk Intan pula, orang ramai
tidak melepaskan peluang bergambar dengan ikon bandar tersebut yang diterangi
hiasan lampu-lampu menarik.
Di SEREMBAN, kira-kira 5,000 orang
menghadiri sambutan tahun baharu Negeri Sembilan Fest 2017 anjuran Persatuan
Karyawan Negeri Sembilan (PKNS), Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Amanah
Rakyat (Mara) dan GIG Technology yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan
Paroi sejak pukul 8 malam.
Negeri Sembilan Fest 2017 yang telah
berlangsung sejak Jumaat lepas turut menyediakan 70 buah khemah jualan selain
orang ramai turut disajikan dengan konsert daripada artis Najwa Latif, Dva,
Sixth Sense serta Slash, sementara menunggu detik 12 tengah malam.
Di LANGKAWI, Larian Langkawi Fun Nite Run
2017-2018 anjuran Persatuan Pelancongan Langkawi dan Lembaga Pembangunan
Langkawi (LADA) memeriahkan sambutan ambang tahun baharu di pulau peranginan
itu dengan melibatkan kira-kira 1,000 peserta.
Acara Langkawi International Blues and
Roots Aseana (LIBRA), sebuah festival muzik blues pertama di Malaysia
melabuhkan tirai dengan membuat kiraan detik ke tahun baharu di Pantai Chenang.
Menyajikan persembahan muzik blues oleh
artis-artis dari Malaysia, Singapura dan Australia, acara yang dianjurkan
bersama LADA, Itos Cottage Music dan SB Explorer Sdn Bhd itu telah bermula
sejak Jumaat lepas dan menarik lebih 3,000 orang genre blues dari dalam dan
luar negara.
Di TERENGGANU, konsep sambutan Malam
Ambang Tahun Baharu 2018 anjuran kerajaan negeri kali ini diadakan penuh
kesederhaan dan pengisian ke arah kerohaniandi Stadium Tertutup Gong Badak,
Kuala Nerus, berbanding sambutan penuh warna-warni pada tahun sebelumnya.
Ambang tahun baharu diisi dengan acara
solat hajat perdana, forum agama dan persembahan nasyid daripada kumpulan Far
East serta kumpulan Selawat yang bermula pada 10 malam dan dihadiri Menteri
Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk
Seri Wan Nawawi Wan Ismail serta barisan exco kerajaan negeri dan penduduk.
Ahmad Razif dalam ucapannya berkata
sambutan sedemikian diadakan bagi mengingati penderitaan yang dialami umat
Islam di seluruh dunia ekoran penindasan dan kezaliman yang dilakukan
musuh-musuh Islam termasuk umat Islam di Palestin.
Pada majlis itu, beliau bagi pihak
kerajaan negeri menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada pertubuhan bukan
kerajaan Aman Palestin untuk disalurkan kepada penduduk Palestin yang kini
dizalimi rejim zionis, sebelum solat hajat yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad
Ash-Shafie Abd Manan diadakan tepat detik 12 tengah malam.
Di KUCHING, sambutan ambang tahun baharu
dirai meriah di Tebingan Sungai Kuching (Kuching Waterfront) seawal pukul 8
malam dengan persembahan pentas.
Di samping persembahan muzik, pentas
persembahan itu yang dibangunkan sejak semalam lagi turut menyajikan
persembahan tarian-tarian tradisional, moden dan juga pertunjukan fesyen untuk
menghiburkan ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan pentas, walaupun dalam
keadaan hujan renyai pada awalnya.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang
Johari Tun Openg tiba di kawasan pentas persembahan sekitar pukul 10.30 malam
dengan diiringi Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan beberapa menteri
Sarawak.
Dalam ucapannya, Abang Johari melahirkan
azam untuk melaksanakan semua polisi yang dirangka kerajaan negeri untuk memacu
pertumbuhan ekonomi Sarawak pada tahun baharu ini, dalam memenuhi harapan untuk
melakar laluan ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi 2030.
Acara sambutan berakhir seperti biasa
dengan kiraan detik ketibaan tahun baharu, disusuli pertunjukan bunga api yang
bergemerlapan menghiasi angkasa, menjadi latar indah yang menghiasi mercu tanda
ikonik Bangunan Dewan Undangan Negeri di pinggir sungai itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment