Saturday 2 December 2017

Dunia semakin kecil...

Adnan (kanan) bertemu Haikal di Almaty
Setiap kali bertugas di luar negara, Editor Foto Adnan Jahaya sering berdoa semoga bertemu rakyat Malaysia terutama orang Perlis atau mereka yang mempunyai kaitan dengan negeri kelahirannya itu. Seringkali doa beliau dimakbulkan.
Inilah catatan terbaharunya mengenai kunjungan ke luar negara.
"Ketika di Almaty, Kazakhstan minggu lalu saya bertemu seorang yang bukan kelahiran Perlis tetapi beliau mempunyai nostalgia dengan Taman Bunga Padi.
Encik Haikal Hanib menegur saya dan memperkenalkan diri ketika saya tiba di lapangan terbang Almaty dari Baku, Azerbaijan.
Beliau adalah setiausaha pertama Kedutaan Malaysia dan pengarah bahagian perdagangan di Kazakhstan dan berpejabat di Almaty.
Kami duduk semeja ketika makan malam di sebuah restoran dan dalam perbualan beliau turut menyebut tentang Perlis dan kawasan Bintong sebuah mukim di negeri bersempadan Thailand itu.
Saya beritahu beliau bahawa saya juga orang Bintong dan mengenali kebanyakan penduduk di situ. 
Beliau kemudian memberitahu bahawa beliau berkahwin dengan gadis pilihan  di Taman Bunga Padi yang merupakan antara kawasan perumahan paling awal wujud di Bintong.
Perbualan lebih rancak apabila saya juga menyatakan bahawa pernah menetap di kawasan perumahan itu dan mempunyai sebuah rumah di situ.
Kami berkongsi nostalgia dan sebelum meninggalkan Almaty dua hari kemudian saya memikirkan apakah saya pernah menghadiri majlis perkahwinannya di perumahan itu.
Ini kerana saya sering menerima jemputan ke majlis kahwin di taman itu tetapi jarang mengambil tahu siapa pengantinnya.
Ketika di Baku, Azerbaijan saya sempat berkongsi nostalgia bersama Duta Besar Malaysia di negara itu Datuk Roslan Abdul Rahman yang juga mempunyai koleksi nostalgia di Bintong.
Beliau pernah bersekolah di Perlis dan bekerja di negeri paling utara itu sebelum menjadi seorang diplomat.
Saya nengenali kebanyakan individu yang disebut mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.
Sesungguhnya dunia ini semakin kecil dalam sebuah jiwa kita yang semakin besar."
Adnan bersama Datuk Roslan di Baku

No comments:

Post a Comment