Timbalan
Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
hari ini merasmikan Laman Media, yang menempatkan ruang kerja serba lengkap
bagi pelbagai agensi dan syarikat penyedia berita dan maklumat yang membuat
liputan Perhimpunan Agung UMNO 2017.
Lebih
1,800 petugas yang mewakili 75 agensi serta syarikat media cetak dan elektronik
‘berkampung’ di pusat media itu yang bertempat di Dewan Tun Razak 4, Aras 4,
Pusat Dagangan Dunia Putra sepanjang Perhimpunan Agung UMNO bermula hari ini
hingga Sabtu.
Daripada
jumlah itu, 61 adalah agensi dan syarikat media tempatan manakala 14 lagi
merupakan media antarabangsa yang membuat liputan perhimpunan terakhir UMNO
sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.
Berbanding
tahun-tahun sebelum ini, Laman Media kali ini menempatkan kesemua media cetak,
elektronik dan media sosial di ruang yang sama.
Ia
menyediakan ruang kerja yang selesa dengan keluasan tiga kali ganda lebih besar
berbanding lokasi di Bilik Mawar sebelum ini.
Selain
kemudahan teknologi multimedia terkini, Laman Media turut dilengkapi bilik
sidang media, surau dan ruang makan.
Ahmad
Zahid, yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, meluangkan masa
melawat pusat media itu yang turut menempatkan ruang kerja bagi Pertubuhan
Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Bernama News Channel (BNC) serta beramah
mesra dengan para petugas media.
Perhimpunan
agung parti tunjang kerajaan Barisan Nasional itu disertai oleh 5,739 anggota
perwakilan.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment