Tuesday 5 December 2017

Hubungan baik media Malaysia-Thailand untungkan rakyat dan negara...

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah hubungan baik pengamal media negara ini dan selatan Thai memberi manfaat kepada kedua-dua negara khususnya rakyat di kawasan sempadan.
Baginda bertitah maklumat atau berita mengenai kepentingan bersama perlu diketahui rakyat kedua-dua negara dan disalurkan dengan pantas oleh media.
“Dalam hubungan ini, media kedua-dua negara harus memainkan peranan dengan berkesan menyalurkan maklumat apatah lagi apabila menyentuh isu-isu sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan komoditi dan barang larangan seperti senjata api dan dadah,” titah baginda. 
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian  semasa menerima menghadap 40 pengamal media dari selatan Thailand dan Bangkok di Galeri Diraja, Istana Arau di Perlis hari ini.
Baginda kemudian meraikan mereka pada majlis jamuan tengah hari di galeri itu.
Rombongan itu dalam rangka lawatan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan mereka di Perlis, Pulau Pinang dan Perak bermula hari ini dan turut disertai Timbalan Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran (Pembangunan) Wilayah Selatan Thailand (SBPAC) Laksamana Madya Somkeart Ponprayoon.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah maklumat yang disalurkan harus memberikan kesan dan impak positif terhadap masyarakat selain memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dua hala.
“Perbezaan bahasa dan budaya bukanlah penghalang untuk media kedua-dua pihak bekerjasama kerana kedua-dua pihak mempunyai tujuan sama iaitu menyalur maklumat atau berita kepada rakyat,” titah baginda.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin kebolehan sebahagian pengamal media selatan Thai berkomunikasi dalam bahasa Melayumemudahkan perkongsian maklumat.
Baginda mahu media Thailand turut membantu mempromosikan Perlis yang menyediakan kemudahan dalam sektor ekonomi, pendidikan dan pelancongan kepada rakyat Thailand.
“Beta mengambil kesempatan ini mempelawa penuntut dari Thailand menyambung pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menawarkan kepakaran dakam bidang kejuruteraan manakala Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dalam pelbagai bidang berteraskan agama,” titah Tuanku Syed Faizuddin.
Program itu merupakan kerjasama antara Kelab Media Perlis (KEMPs) dan Southern Peace Media Club (SPMC) Selatan Thailand yang mengambil kesempatan itu membincangkan pelbagai agenda kerjasama dua hala selain menyokong usaha antara kerajaan untuk memajukan wilayah-wilayah di sempadan.
Rombongan itu meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang petang ini dan seterusnya Perak esok.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment