Friday 30 August 2013

Penerbit Bernama Radio24 menang anugerah kesihatan...



Program ‘Dalam Radar’ Bernama Radio24 (BR24) yang mengenengahkan isu ‘Penyakit Tidak Berjangkit (NCD): Ancaman Baru Kesihatan di Malaysia’ merangkul Anugerah Program Kesihatan Terbaik Radio anjuran Kementerian Kesihatan.
Penerbitnya Norindah Khairi, 27, gembira kerana ini merupakan kali kedua beliau menggondol anugerah dalam kategori sama selepas memenanginya pada tahun 2011 menerusi program ‘Ala-carte Pagi’.
Beliau sudah berkhidmat lebih empat tahun dengan BR24 dan adalah antara 13 pemenang pelbagai kategori bagi Anugerah Media Kesihatan 2013, yang masuk kali ketujuh penganjurannya tahun ini.
Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Helmi Yahya di ibu negara malam ini.
Anak kelahiran Kluang, Johor itu menjadikan kemenangan berkenaan sebagai pemangkin untuk beliau menghasilkan lebih banyak maklumat berguna yang dapat diuar-uarkan secara telus kepada masyarakat.
Beliau juga kerap menghasilkan rencana untuk Jabatan Pengarang.
Norindah membawa pulang wang tunai RM2,500 dan sijil penyertaan.
Ketua Pegawai Operasi BR24 Azlan Idris ternyata gembira dengan kejayan itu apabila menghantar mesej menerusi WhatsApp Bernama ED-Team pada pukul 10.13 malam ini.
“Breaking news! BR24 baru sahaja memenangi Anugerah Utama program radio terbaik anjuran Kementerian Kesihatan,” katanya.

“Selepas 6 tahun ..BR24 terus mengorak langkah untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan stesen radio komersil yang lain. Kecil jangan disangka anak. Kekurangan (terutama dari segi wilayah siaran) dijadikan iltizam oleh kami untuk memberikan yang terbaik dan menjadi yang terbaik.” 
“Terima kasih kepada semua terutama Datuk GM yang tidak pernah putus-putus memberikan sokongan kepada kami di tingkat 15,” katanya.

No comments:

Post a Comment