Saturday 24 August 2013

Semangat berpasukan .....

Kursus Teambuilding kendalian Encik Ahmat Abdul Wahab, pengarah operasi audio visual, diadakan bagi membentuk persefahaman dan kerjasama antara petugas Bernama. 
Kursus ini telah dijalankan di Puteri Resort, Ayer Keroh Melaka selama tiga hari bermula dari 22 sehingga 24 Ogos 2013. Seramai 30 orang peserta dan dua orang urusetia terlibat dalam kursus ini.
Pada permulaan kursus, Encik Ahmat bertanya kepada para peserta mengenai harapan (expectation) para peserta setelah kursus tamat nanti. Rata-rata jawapan yang diberikan adalah memenuhi keperluan objektif kursus. Menjadi berani, berpendirian tetap, meningkatkan mutu kerja, pro-aktif, mempunyai kemahiran interpersonal, membuang sifat malu dan membina semangat setiakawan adalah antara jawapan yang diberikan oleh para peserta.
Modul kursus yang dirangka oleh Encik Ahmat kebanyakannya berbentuk soalan menguji minda dan juga permainan dalaman (indoors). Sebagai contoh, soalan mengenai bilangan pokok yang boleh tumbuh daripada sebiji buah epal.
Soalan ini sebenarnya memerlukan para peserta supaya menyiasat sesuatu permasalahan itu dengan teliti agar jawapan yang dicari bersandarkan maklumat yang betul dan bukan hanya sekadar andaian semata-mata.
Selain itu, Encik Ahmat menyediakan beberapa soalan menguji minda yang lain seperti 4 Bayang Di Kolam, 6 Minit Ke Switzerland, Ayam dan Telur dan banyak lagi. Walaupun banyak aktiviti dalaman, ada juga aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal seperti merebut kasut, membina menara spaghetti dan membungkus telur.
Sebagai seorang tenaga pengajar yang berpengalaman, Encik Ahmat bijak menangani perselisihan faham yang berlaku antara para peserta. Perkara sebegini sering timbul dalam permainan outdoor yang melibatkan tenaga fizikal seperti Crossing River dan Water Transport.
Encik Ahmat telah memilih dua permainan ini kerana ia berkonsep kerjasama antara para peserta dan menguji kebijaksaan seorang ketua untuk mengendalikan anak buahnya. Selain itu, dua permainan ini juga dipilih kerana tidak memerlukan daya fizikal yang tinggi. Justeru, para peserta yang mempunyai masalah kesihatan tidak serius boleh turut serta dalam aktiviti berkenaan.
Sebelum berakhirnya kursus, Encik Ahmat  melahirkan rasa bangganya atas pencapaian peserta kali ini. Beliau turut memberikan beberapa nasihat sebagai mutiara kata. 
Menurut beliau, peserta kursus kali ini menyiapkan tugasan dengan tempoh masa yang lebih panjang berbanding peserta-peserta kumpulan sebelumnya. Ini adalah sesuatu yang perlu diperbaiki lantaran waktu serahan tugas atau deadline adalah sesuatu yang amat penting.
Kesimpulannya, kursus Teambuilding kali ini berjalan dengan lancar dan baik sekali.
Para peserta melahirkan rasa gembira mereka melalui borang penilaian latihan yang diberikan. Kebanyakan daripada mereka merasakan kursus ini amat baik sekali untuk diikuti oleh semua petugas Bernama agar dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat selain dapat meningkatkan kemahiran untuk bekerja dalam satu pasukan dengan lebih berkesan.

Laporan disediakan oleh:
RIDZUAN MOHD GHAZALI,
Eksekutif Latihan, Pusat Kecemerlangan BERNAMA

No comments:

Post a Comment