Thursday 8 August 2013

Beraya di Guangzhou…

Jauh berjalan, luas pengalaman.
Ketua Meja Sukan Elmi Rizal Alias dan jurufoto Zid Omar, yang kini berada di Guangzhou, China untuk membuat liputan Kejohanan Badminton Dunia, mendapat pengalaman baharu menyambut 1 Syawal   hari ini.
Seperti di Malaysia, jutaan umat Islam di China termasuk di bandar raya itu meraikan 'kemenangan' mereka dengan menyambut Aidilfitri  selepas sebulan berpuasa.
Bagi Elmi dan penganut Islam dari negara-negara asing yang pertama kali menunaikan solat sunat Aidilfitri di China, pengalaman itu menjadi kenangan berharga.
Menurutnya, seawal 7.30 pagi, masjid-masjid di Guangzhou mula dibanjiri jemaah termasuk  di Masjid Huaishen  yang merupakan antara masjid tertua di China berusia lebih 1,500 tahun.
Sebelum solat sunat Aidilfitri, imam dan anggota jawatankuasa masjid berbaris masuk ke dalam perkarangan masjid dengan memegang colok yang dinyalakan untuk menghasilkan bau haruman  sambil mengalunkan takbir raya.
Sebelum melangkah masuk ke dalam masjid, colok ditinggalkan di luar.
Amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun, malah ia menjadi amalan kepada orang Islam di China.
Elmi berpeluang bertemu seorang rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan dan menetap di bandaraya itu, Noor Affandey Roos Affandey, 35.
Beliau memberitahu Elmi bahawa  antara perbezaan sambutan Hari Raya di Guangzhou ialah tiada amalan menziarah tanah perkuburan seperti yang dilakukan di Malaysia.
"Rumah terbuka secara besar-besaran pun tiada. Yang sama seperti di Malaysia ialah selepas solat Aidilfitri, kita akan mengunjungi rumah keluarga dan rakan-rakan," kata Noor Affandey yang telah sembilan tahun berada di bandaraya itu dan berkahwin dengan rakyat tempatan.
Beliau yang berasal dari Meru, Selangor, berkata walaupun tidak sama seperti di Malaysia, kemeriahan menyambut Aidilfitri tetap dirasai.
Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, penganut Islam daripada pelbagai negara yang walaupun  tidak mengenali  satu sama lain, saling mengucapkan Selamat Hari Raya dan bermaaf-maafan seperti kawan lama dan saudara sekeluarga.

No comments:

Post a Comment