Friday 30 August 2013

'Berbaloi' usaha gigih...


Dua minggu bertungkus-lumus sehingga balik lewat malam untuk merealisasi Majlis Mesra Hari Raya Bernama ternyata ‘berbaloi’ bagi para petugas Bahagian Komunikasi Korporat.
Dengan perasaan syukur kerana majlis semalam berjalan lancar,  Pengurus Komunikasi Korporat Zarina Rozali berkata kejayaan itu hasil kerjasama semua warga Bernama.
“Kalau nak harapkan kami sahaja, memang tak cukup tangan.
“Terima kasih kepada semua…masing-masing memainkan peranan, melayan tetamu dan membuatkan mereka gembira,” katanya pagi ini.
Beliau mengakui berdebar apabila majlis bermula kerana bimbang jika ada yang tidak kena.
“Kita hanya dapat berdoa agar segalanya berjalan lancar…Alhamdulillah, lega  apabila selesai dan maklumat yang diterima ialah makanan ok...sedap, persembahan pun ok,” katanya.
Majlis itu yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek berlangsung dari 12 tengah hari hingga 6 petang di Hotel Grand Seasons.
Inilah kali  pertama Bernama mengadakan majlis sambutan Aidilfitri secara besar-besaran sejak penubuhannya 45 tahun lepas.
Zarina, yang telah 17 tahun berkhidmat dengan Bernama dan ditempatkan di bahagian itu bermula sebagai eksekutif pada 2005, berkata acara semalam adalah antara tugasan yang akan menjadi kenangan manis baginya.
Sebelum ini, satu acara ‘mencabar’ yang dikendalikannya ialah majlis berbuka puasa yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Wisma Bernama pada Ogos 2011.
‘Pengurus Besar banyak memberikan sokongan…malahan sehari sebelum majlis Hari Raya itu diadakan, beliau datang ke bahagian kami pada pukul 8 malam untuk mengetahui jika ada apa-apa masalah,” kata Zarina.
Majlis itu bukan sahaja telah mengeratkan silaturahim tetapi turut memberi peluang kepada tetamu asing merasai keceriaan suasana berhari raya di negara ini.
Pewarta Vietnam News Agency (VNA) Nguyen Thi Kim Dung, yang pertama kali menghadiri majlis seumpama itu, amat teruja dengan suasana sambutan yang mencerminkan keramahan masyarakat Malaysia.
"I am very happy to attend Bernama's Raya open house. Thank you very much," katanya dalam emel.
Begitu juga dengan Pegawai Media dan Informasi Kedutaan Amerika Syarikat Harvey Sernovitz yang meminati  ayam percik dan rendang setelah bertugas di Malaysia sejak dua tahun lepas.
“Thank you so much for the hospitality!  We look forward to continuing our excellent relationship with Bernama,” kata beliau dalam emelnya hari ini.
Wakil Suruhanjaya Tinggi Australia Elizabeth Wright, yang baru bertugas di Malaysia, juga menghargai kemesraan dan layanan baik yang diberikan kakitangan Bernama.
“It was great to meet you and your colleagues. I look forward to working with you in the future,” kata setiausaha kedua suruhanjaya tinggi itu dalam emelnya.

No comments:

Post a Comment