Monday 26 August 2013

‘Bidan terjun’ bersuara ….

Wartawan Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Azlee Nor Mahmud bagaikan ‘bidan terjun’ apabila dimaklumkan bahawa beliau perlu membuat laporan secara lintas langsung untuk Bernama Radio24.
Ketika itu, beliau dalam perjalanan untuk membuat liputan mengenai Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) Universiti Kebangsaan Malaysia di Tanjung Kesang dekat Mersing.
“Mula-mula gementar juga tetapi kemudiannya ok,” kata Azlee yang baru setahun diserapkan sebagai petugas tetap setelah menjadi stringer lebih dua tahun dengan PBE.
Selain mengenai Ekomar, Azlee melaporkan situasi terkini Kembara Mahkota Johor (KMJ) dalam lintas langsung hampir lima minit dengan Bernama Radio24 pagi ini.
“Ini adalah pengalaman berguna,” kata Azlee yang tidak melepaskan peluang  bergambar di samping motosikal berkuasa besar milik Sultan Johor Sultan Ibrahim. 
Dalam melebarkan jangkauan kandungan berita Bernama, para wartawan perlu bersedia melakukan ‘multi-tasking’ untuk membuat lintas langsung bagi Bernama Radio24 serta  Bernama TV.
Keperluan ini ditekankan terutamanya kepada para pewarta Bernama yang ditempatkan di luar negara serta para wartawan yang bertugas di seluruh negara.
Azlee, 33, yang berpengalaman bekerja dalam bidang pengiklanan sebelum menyertai Bernama berkata beliau gembira bekerja di Bernama kerana ia lebih terjamin serta mempunyai faedah kerja yang menarik.
“Kalau boleh saya hendak bekerja sampai pencen,” kata lulusan kewartawanan Universiti Teknologi MARA (UITM) itu.
Dalam lawatan itu bersempena program KMJ 2013, Sultan Ibrahim meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai Ekomar yang  mula beroperasi  pada 29 Mac tahun lepas.
Ekomar merupakan sebuah pusat untuk menggembleng penyelidikan dalam bidang ekosistem marin yang menjalankan penyelidikan bersifat rentasan disiplin ilmu merangkumi sains tulen, sains sosial, sains kesihatan, ekonomi dan kejuruteraan.



No comments:

Post a Comment