Wednesday 7 August 2013

Seronok dapat cucu dan menantu ...

Hari Raya Aidilfitri kali ini amat istimewa  bagi Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh dengan pertambahan anggota keluarganya.
Empat bulan lepas, beliau mendapat cucu sulung, seorang bayi perempuan dan tidak lama lagi akan menerima menantu perempuan ketiga.
“Seronok rasanya bertambah anggota keluarga walaupun ia mengingatkan kita bahawa usia semakin meningkat,” katanya sambil tersenyum.
Di sebalik persiapan Hari Raya, Datuk Zulkefli dan isteri Datin Ruhiza Hashim  sibuk menguruskan majlis perkahwinan anak ketiga mereka Azrul Zaid dengan Tengku Najwa Akmal Tengku Mohammad Shah.
Majlis akan diadakan pada 24 Ogos ini (17 Syawal) di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Kehadiran seorang lagi menantu perempuan begitu bermakna bagi beliau dan isteri kerana empat-empat anak mereka adalah lelaki.
“Menantu perempuan kira anak jugalah,”  kata Datuk Zulkefli  yang memegang jawatan Ketua Pengarang sejak 15 Mac lepas.
Beliau menggantikan  Datuk Yong Soo Heong yang dilantik sebagai Pengurus Besar  pada 1 Januari.
Sejak memegang jawatan itu, Datuk Zulkefli berkata beliau belum dapat menumpu sepenuhnya kepada Jabatan Pengarang kerana  perhatian diberikan terhadap persiapan sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
“Saya harap dapat tumpukan  selepas ini untuk mengembalikan Bernama kepada zaman kegemilangannya.
“Menurut senior-senior kita, zaman dulu Bernama lebih hebat daripada zaman sekarang.
“Boleh jadi zaman itu tidak banyak persaingan macam sekarang  dengan adanya dunia siber dan media sosial.
“Dulu kita memegang monopoli dalam penyampaian maklumat terkini tetapi dengan adanya internet dan media sosial kita perlu bersaing dan tidak boleh menjadi  seperti yang lain (one of the many).
“Kita perlu mencari kekuatan baru untuk mempastikan kita terus relevan.
Beliau mahu Bernama  menjadi pembekal maklumat yang  boleh dipercayai (credible)  serta menjana analisis berita yang lebih baik dari segi politik, sosial dan pasaran saham.
“Kita kena cubalah supaya nanti  apabila orang hendak merujuk sesuatu perkara, mereka  akan melihat kepada Bernama,” katanya.
Datuk Zulkefli menyertai  Bernama sebagai wartawan pada 17 September 1979 setelah memperolehi ijazah kewartawanan dari Institut Teknologi MARA (kini  Universiti Teknologi MARA).
“Walaupun sudah hampir 34 tahun dengan  Bernama,  namun rasa macam baru disebabkan  sayang  terhadap kerja dan keadaan sekitar,” katanya.
Selain melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, beliau berkata para wartawan Bernama  harus menanam sikap bangga (pride) menjadi wartawan Bernama.
”Idealnya, semua petugas Bernama harus merasakan diri mereka penting dari pemandu yang membawa wartawan ke tempat tugasan hinggalah kepada  wartawan,  penyunting, editor serta kakitangan teknikal yang menyelenggara komputer.
“Saya anggap orang di kantin itu pun penting sebagai sebahagian daripada keluarga besar Bernama kerana tanpa mereka, boleh menjejaskan operasi disebabkan tidak ada benda untuk dimakan,” katanya.
Beliau menasihati wartawan muda agar tidak jemu menimba ilmu bagi meningkatkan kemahiran mereka.
“Saya masuk Bernama dulu walaupun ada ijazah kewartawanan, saya rasa saya terlalu kekurangan dan menganggap senior-senior saya orang pandai dan saya banyak belajar daripada mereka.
“Orang muda  sekarang yang masuk dengan kelulusan, mereka rasa dah cukup pandai dan apabila ditegur oleh editor, tidak ambil berat,” katanya.
Beliau menyebut mengenai filem lakonan jaguh kung-fu Bruce Lee yang pernah ditontonnya.
“Guru dia suruh tuang air dalam gelas dan apabila penuh, dia tanya boleh letak air lagi atau tidak. ..jadi  kenalah kosongkan  gelas itu supaya air boleh dituangkan.
Begitulah juga dengan kita yang harus bersedia menerima ilmu baru kerana pendidikan adalah seumur hidup,”  katanya.

No comments:

Post a Comment