Wednesday 28 August 2013

Gotong royong meriahkan kenduri kahwin…



Perancangan rapi amat diperlukan untuk mengadakan majlis keramaian seperti perkahwinan anak sebagaimana dialami Penolong Editor Meja Penyuntingan Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Haji Hammad Wariman.
Dalam kesempatan berkomunikasi melalui Facebook dengannya pagi ini, jawapan beliau apabila ditanya perasaannya setelah selesai mengadakan majlis berkenaan, cukup mendalam walaupun ringkas. 
Penat dan rabak.
Apabila dinyatakan bahawa banyak barakahnya majlis itu, Haji Hammad berkata: “Alhamdulillah.semua berjalan lancar...tetamu bertali arus.”
Majlis diadakan di Rantau Panjang, Seberang Perai Utara pada 17 Ogos.
Katanya, banyak perkara yang tidak dapat dilupakan seperti mengatur adik beradiknya untuk melayan tetamu terutama rombongan dari keluarga menantunya.
“Pendekatan ini mengikut sunnah…tetamu mesti dilayan, tak boleh dibiar hanyut,” katanya.
Itulah pertama kali bagi Haji Hammad dan isterinya Badariah Hamid mengadakan majlis perkahwinan anak walaupun mereka berdua telah banyak kali terlibat dalam majlis-majlis seumpamanya untuk ahli keluarga yang lain.
Anak keduanya Muhammad Hazwan, 24 bertemu jodoh dengan Nur Athirah Ayu.
Muhammad Hazwan, lulusan Universiti Toyohashi, Jepun, kini bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan Jepun di Damansara.
Haji Hammad mempunyai lima anak lelaki dan seorang anak perempuan -- anak bongsu, berusia 15 tahun.
Ketika ditanya apakah pengalaman yang dapat dikongsi, beliau berkata: “Pendekatan mengadakan kenduri mengikut kemampuan tetapi meriah.”
Selain bermesyuarat dengan anggota jawatankuasa kampung, beliau juga mengadakan sesi percambahan fikiran dengan adik beradik, teman rapat serta mengatur tugas masing-masing.
Kerja-kerja dilakukan secara gotong-royong dan tidak menggunakan khidmat catering.
“Adik beradik dan teman di kampung banyak membantu…masing-masing ada bakat di bidang masakan, menghias, reka hidangan…” katanya.
Untuk kenduri, seekor lembu seberat 100kg dan 50 ekor ayam digunakan manakala nasi daripada beras beriani basmathi dan beras Jati.
 “Saya buat kenduri di kampung, memandangkan adik beradik, sanak saudara, sepupu dan anak saudara sebelah saya dan isteri mencapai jumlah 600 orang,” katanya.

No comments:

Post a Comment