Monday 5 August 2013

Memohon keberkatan …


Pagi ini sepertimana lazimnya setiap Isnin, doa dilafazkan melalui sistem siaraya yang  berkumandang di setiap tingkat Wisma Bernama.
Tugas itu dilaksanakan “imam” surau Bernama, Encik Asri Junin.
“Kita berdoa kepada Tuhan  agar memberkati pekerjaan kita…ini adalah ibadah, jadi kita kena berdoa supaya berkat.
“Doa juga boleh menyatukan kita di samping bersyukur dengan rezeki yang diperolehi,” kata Asri, yang bertugas sebagai jurutera perisian.
Semangat bersatu dan berganding bahu di kalangan petugas merupakan antara faktor asas yang menentukan kejayaan sesebuah organisasi.
Apatah lagi bagi sebuah organisasi dinamik seperti Bernama yang sentiasa perlu bersiap siaga menghadapi perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.
Selain berjamaah di surau, Asri berkata kegiatan sukan boleh mengeratkan ukhwah di kalangan warga Bernama.
Asri, 44, menyertai Bernama pada tahun 2005 setelah bekerja selama 12 tahun di HeiTech Padu.
“Ada kawan saya yang bekerja sebagai manager (pengurus) di Bessar mencadangkan kepada saya supaya menyertai Bernama,” kata Asri, yang menganggotai jawatankuasa Surau  serta Kelab Kakitangan Bernama (KKB).
Penolong setiausaha jawatankuasa surau Encik Hanafiah Omar berkata bacaan doa setiap pagi Isnin itu bertujuan memohon keberkatan untuk kesejahteraan para pekerja Bernama serta organisasi.
“Langkah ini yang dicadangkan pihak pekerja telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Bersama Jabatan kira-kira setahun lepas,” katanya.

No comments:

Post a Comment