Tuesday 6 August 2013

Alah bisa, tegal biasa…


Bagi para petugas Jabatan Pengarang, bekerja pada Hari Raya sudah menjadi kebiasaan.
Tidak ada istilah “tutup pejabat” bagi organisasi media seperti Bernama yang beroperasi tanpa henti sejak memulakan perkhidmatan pada 20 Mei, 1968.
Sama ada cuti umum untuk perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri atau hari kelepasan am yang lain, operasi pemberitaan perlu diteruskan.
Apatah lagi keluarga Bernama kini berkembang dengan adanya perkhidmatan radio dan televisyen.
Jurufoto Zulkarnain Kamaruddin, 40, adalah antara petugas yang “sudah lali” bekerja semasa Hari Raya.
Tahun lepas, beliau dan ketua biro Pulau Pinang Azeman Ariffin ditugaskan membuat liputan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah, yang berlangsung pada 26 dan 27 Ramadan.
Setelah Perdana Menteri kembali ke tanahair, barulah mereka boleh pulang.
“Saya masih ingat pesawat kami mendarat di KLIA pada pukul 12.30 tengah hari 1 Syawal,” kata Zulkarnain, yang menyertai Bernama pada tahun 2003 sebagai jurukamera Bernama TV.
Beliau sebelum itu berkhidmat dengan TV3, Metrovision dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Rakannya Shahrizan Jefri Aziz, 33, juga tidak berasa apa-apa jika perlu bertugas pada Hari Raya.
“Kata orang, alah bisa, tegal biasa…tak ada nak nangis atau sedih
“Kita dah set mind, tahun ini kita kerja, jadi tak ada apalah, ,” kata Shahrizan yang sudah berkhidmat dengan Bernama selama 10 tahun.
Malahan, ada juga seronoknya beraya di pejabat kerana masing-masing membawa kuih muih, ketupat dan lain-lain untuk dikongsi dengan rakan-rakan yang bertugas,
Suasana bertambah meriah dengan pakaian baju Melayu yang beraneka warna, kata Shahrizan yang berasal dari Tambun, Perak
Ketua Unit Foto Haji Mustaza Mohd Yusoff berkata tidak susah bagi beliau mempastikan  tenaga kerja yang mencukupi semasa Hari Raya.
“Ini disebabkan adanya amalan 2 team (pasukan) – Team A dan Team B.
 “Kalau Team A bekerja tahun ini,  mereka akan bercuti tahun depan manakala Team B pula yang bekerja.
Setiap pasukan mempunyai  12 atau 13 orang, kata Mustaza, yang memulakan sistem itu pada tahun 2006 apabila dilantik mengetuai unit itu.
"Petugas yang baru bertukar balik ke ibu pejabat dari negeri, automatik tahu yang dia kena bekerja pada Hari Raya tahun itu," katanya.
Liputan pada hari Raya biasanya merangkumi solat Aidilfitri dan rumah terbuka serta human interest seperti bayi yang baru dilahirkan dan stand-by kejadian seperti kemalangan jalanraya, kebakaran dan jenayah.

No comments:

Post a Comment