Saturday 3 August 2013

Din bersyukur ….

Kegigihan bekerja mendorong jurukamera Bernama TV, Abu Kassim Chik tabah menghadapi cabaran.
Walau apa pun tugasan yang diterima, beliau sentiasa meletakkan kesungguhan menghasilkan yang terbaik sebagai azamnya.
Begitulah juga keadaannya apabila ditugaskan untuk membuat liputan pencorobohan di Lahad Datu, awal tahun ini.
Abu Kassim, yang lebih dikenali sebagai Din, mengakui bahawa semasa mula-mula diarah untuk tugasan itu,  timbul juga perasaan bimbang menghadapi segala kemungkinan.
Namun semangat untuk berjuang demi negara, sedikit demi sedikit menghilangkan perasaan takut beliau.
Semalam, beliau adalah antara 17 petugas Bernama yang menerima Pingat Kedaulatan Negara (PKN) daripada Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis yang disusuli berbuka puasa di Seri Perdana, Putrajaya.
Mereka merupakan antara 227 petugas media yang mendapat pingat tersebut atas kegigihan dan kecemerlangan mereka menjalankan tugas masing-masing untuk membolehkan rakyat mengetahui perkembangan sebenar insiden itu.
Jabatan Penerangan membuka sebuah pusat media di  Felda Sahabat di Lahad Datu dari 15 Februari hingga 15 April bagi memudahkan liputan media.
“Saya bersyukur mendapat anugerah ini kerana ia merupakan penghargaan kerajaan kepada pihak media,” kata Abu Kassim, yang bertugas hampir sebulan di Lahad Datu semasa insiden itu.
Ia juga menaikkan semangatnya untuk sedia bertugas dalam suasana yang berbahaya jika diperlukan pada masa akan datang.
‘Memanglah keluarga terutama anak-anak risau mengenai keselamatan saya namun saya nyatakan kepada mereka bahawa tidak perlu bimbang kerana pasukan keselamatan   akan melindungi  kami,” katanya mengimbas reaksi keluarga semasa ditugaskan ke Lahad Datu.
Abu Kassim, 47, menyertai Bernama pada tahun 1998 sebagai antara tenaga perintis jurukamera Perkhidmatan Audio-Visual.
Tugasan mencabar  yang pernah dihadapinya sebelum ini ialah apabila membuat liputan rundingan bagi membebaskan mangsa penculikan kumpulan Abu Sayyaf   di kepulauan Jolo pada tahun 2000.

No comments:

Post a Comment