Tuesday 13 August 2013

Berazam melahirkan pemenang …

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE), Haji Amer Hamzah Md Sap berazam melahirkan para wartawan yang pakar dalam bidang pengkhususan masing-masing.
Sejak dinaikkan pangkat 15 Julai lepas, beliau memulakan langkah awal dengan cuba mengetahui apa yang wartawan di perkhidmatan itu “tahu dan tidak tahu” serta keperluan mereka dari segi pemberitaan.
“Ada yang tidak faham mengenai fokus berita atau laporan khas dan apa yang dikatakan colour story, jadi kita akan adakan kursus selepas Hari Raya,” katanya.
Menurutnya, Pusat Kecemerlangan Bernama bersetuju mengadakan latihan khusus itu yang akan dikendalikan oleh perunding editorial Encik S.Sivaselvam.
 Ia  akan dibuka kepada pemberita-pemberita baru dari perkhidmatan lain kerana  PBE tidak boleh menghantar  semua wartawannya untuk menghadiri kursus sepanjang hari.
“Kita kena pecahkan sesi latihan, jadi boleh juga orang lain ikut menimba ilmu,” katanya.
Beliau berharap latihan seumpama itu akan memantapkan lagi keupayaan para wartawan untuk menghasilkan berita-berita eksklusif.
“KPI berita eksklusif  ekonomi bagi dua suku pertama ini kurang beberapa peratus dan perlu ditingkatkan,” katanya.
“Harap-harap selepas ini, dengan apa yang dipersetujui dalam mesyuarat Editorial untuk mengadakan pengkhususan bagi para wartawan, mereka akan  dapat mengeluarkan berita mengikut pengkhususan dan menjadi pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.
Selain pengkhususan dalam produk halal, bidang-bidang lain yang boleh dikhususkan ialah insurans, perkapalan, penerbangan, pengangkutan dan automatif.
“InsyaAllah apabila kita perlu mengeluarkan sesuatu berita nanti, kita sebut saja dan wartawan berkenaan sudah boleh menghasilkan berita dalam masa sejam dua,” katanya.
Mengenai pelantikannya, Haji Amer berkata ia satu tanggungjawab besar yang bukan untuk “suka-suka atau  seronok”.
“Saya ambil secara serius dan berharap apa yang saya rancangkan, berjaya.
“Saya nak wujudkan pemenang dalam bidang masing-masing, kita harap selepas ini bukan hanya satu unit yang menang anugerah atau penghargaan dalam mana-mana  pertandingan tetapi juga pemenang dalam sektor-sektor berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment