Thursday 29 August 2013

‘Bekwah’ bersejarah …

SALAM HORMAT! RIBUAN TERIMA KASIH KPD SEMUA WARGA BERNAMA YANG TELAH MENJAYAKAN MAJLIS HARI RAYA BERNAMA DI HOTEL GRAND SEASONS HARI INI. SYABAS!” – Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong dalam catatan menerusi WhatsApp Bernama ED-Team pada pukul 7.50 malam ini.
Ucapan ini jelas menggambarkan betapa leganya beliau setelah selesai majlis yang berjalan lancar dan menjadi ingatan dalam sejarah organisasi.
Inilah kali  pertama Bernama mengadakan majlis sambutan Aidilfitri secara besar-besaran sejak penubuhannya 45 tahun lepas.
"Majlis ini bagi meraikan dan menghargai pihak berkepentingan dan para petugas Bernama yang selama ini bertungkus-lumus berusaha bagi memastikan Bernama mencapai apa yang diperolehi sekarang," kata Datuk Yong.
Kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memeriahkan majlis.
Beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada empat bekas petugas Bernama yang telah dan akan bersara daripada perkhidmatan masing-masing.
Mereka ialah Encik Abdullah Mohamad, 58, yang telah berkhidmat selama 24 tahun sebagai pengawal keselamatan dan pembantu tadbir Puan Ambia Tawil, 54, yang berkhidmat selama 32 tahun dan akan bersara pilihan pada 1 November ini.
Dua lagi ialah Puan Rodziah Idris, 46, telah berkhidmat selama 18 tahun dan jawatan terakhir sebagai setiausaha di pejabat timbalan ketua pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa dan Encik Jackson Sawatan, 48, berkhidmat selama 19 tahun di Bernama dengan jawatan terakhir Editor Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris di Perkhidmatan Berita Dalam Negeri.
Pada majlis itu, Datuk Seri Ahmad Shabery mengambil peluang beramah mesra dengan para petugas Bernama sambil menikmati juadah Hari Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Wanita
Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan turut menghadiri majlis yang diadakan dari 12 tengah hari hingga 6
petang itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf serta para pegawai kanan dari jabatan-jabatan dan agensi kementerian turut hadir. Wakil dari sektor korporat, media serta kedutaan asing juga memenuhi undangan.  
Duta Khas Infrastruktur Bagi India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar, bekas
Menteri Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali turut hadir.
Pengasas Bernama Datuk Abdul Wahab Majid, dua bekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Datuk A. Kadir Jasin serta tiga bekas Pengurus Besar -- Datuk Hasnul Hassan, Datuk Syed Jamil Jaafar dan Datuk Seri Azman Ujang serta bekas pegawai latihan ketika Bernama ditubuhkan pada tahun 1968, Datuk Manaf Abdul Hamid, yang kemudiannya berkhidmat dengan Wisma Putra juga hadir.   
Antara 'sifu' lain yang kelihatan ialah Encik Zainoor Sulaiman, Encik Kuah Guan Oo dan Haji Mahrus Ibrahim.

Suasana Hari Raya terserlah dengan kebanyakan petugas dan tetamu yang hadir mengenakan baju Melayu dan baju kurung di samping lagu Raya didendangkan sepanjang majlis berlangsung.
Pemidang khas bertulis ‘Majlis Mesra Hari Raya’ berserta logo Bernama dan perkataan ‘2013’ dipasang di luar dewan untuk  para petugas dan tetamu bergambar kenangan.
Para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga dari kalangan petugas Bernama dalam pertandingan video kreatif turut menerima hadiah yang disampaikan Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman pada majlis itu.
Mereka ialah Haliza Iberahim (pertama), Amarul Nakhim Ahmad (kedua) dan Abu Bakar Mohamad (ketiga).

No comments:

Post a Comment