Sunday 4 August 2013

Orang baru, orang popular ...

Sungguhpun pernah melihat papan tanda  di simpang Jalan Tun Razak, 'orang baru' ini tidak menyangka akan berkhidmat dengan Bernama setelah bersara dari  tentera.
Penyelia pengawal keselamatan Encik Basir Hassan memohon kerja itu setelah mengetahui mengenainya melalui Internet.
"Tak seorangpun yang saya kenal ketika datang temuduga...syukur Alhamdulillah saya diterima bekerja," katanya.
Beliau memulakan tugas di Bernama pada 1 Julai lepas.
"Selesa bekerja di sini dengan pergaulan staf yang tidak sombong," katanya.
"Saya akan gunakan pengalaman dalam tentera untuk menjaga keselamatan di sini,” kata Basir, 42, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
Berkhidmat selama 24 tahun sebagai anggota tentera, pangkalan terakhir sebelum beliau bersara ialah 93 Regimen Semboyan DiRaja, Kem Imphal di Jalan Padang Tembak.
Isterinya Puan Shahini Mat Hassan masih berkhidmat dalam tentera dan mereka mempunyai empat cahayamata.
Bagi Mohd Shahril Pandak Lamat pula beliau boleh berbangga kerana mengenali sebahagian besar warga Bernama yang bertugas di Wisma Bernama.
“Saya seronok bekerja di Bernama sebab saya dapat berjumpa dengan para pegawai dan kakitangan semasa menghantar surat kepada mereka.
“Apabila pelawat bertanyakan mengenai seseorang di Bernama, saya dengan bangganya dapat terus memberitahu mereka di mana pejabat atau tingkat orang berkenaan,” katanya.
Shahril, yang telah berkhidmat selama tujuh tahun dengan Bernama, berkata beliau sentiasa berfikiran positif melaksanakan tugasnya.
“Kerja ini satu ibadah dan seharusnya dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Populariti Shahril di kalangan warga Bernama terserlah apabila beliau memenangi kerusi anggota  jawatankuasa Kelab Kakitangan Bernama (KKB) dengan undi terbanyak -- 405  pada pemilihannya 5 Julai lepas.
Pemuda berusia 27 tahun itu bercuti seminggu untuk Aidilfitri mulai 8 Ogos dan bercadang merayakannya dengan keluarga di Ipoh dan Selama.
Mengenai pasangan hidup, beliau berkata: “Disebabkan kita merancang, Allah s.w.t. yang menentukan, insyaAllah tahun depan dengan gadis dari Selatan.
“Sama ada orang Johor, Melaka atau Negeri Sembilan…tunggulah, saya akan maklumkan nanti” katanya sambil tersenyum.  

1 comment:

  1. syukur Alhamdulillah .......... selamat hari raya maaf zahir batin

    ReplyDelete