Monday, 6 August 2018

Sistem rawatan air Malaysia untuk pelarian Rohingya...


Menjelang tarikh keramat kemerdekaan negara, keupayaan Malaysia untuk membantu tetangga menjadi perhatian. Dalam kita mensyukuri nikmat kemerdekaan, ada masyarakat luar menjadi pelarian untuk menyelamatkan diri daripada penindasan di negara mereka.
Penulis Syed Azwan Syed Ali yang juga Penasihat Media bagi Misi Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) di Cox’s Bazar, Bangladesh berkongsi cerita menerusi Bernama.

Sekurang-kurangnya 30,000 etnik Rohingya di kem pelarian yang terletak di kawasan Ukhia di Cox’s Bazar, Bangladesh akan menerima bekalan air terawat hasil inisiatif sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
Sistem rawatan air medan “SafeWhere” Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) itu akan dipasang di lima lokasi, termasuk di kawasan Hospital Medan Malaysia (MFH).
Sistem yang dibangunkan dengan kerjasama Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga dipasang di kem pelarian mega Balukhali/Kutupalong yang menempatkan lebih 650,000 pelarian Rohingya dari Myanmar.
Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata pemasangan sistem rawatan air yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran Malaysia itu, akan membantu komuniti pelarian untuk mendapatkan bekalan air terawat.
Katanya, bekalan air terawat adalah keperluan mendesak setelah petugas di sektor kesihatan, termasuk doktor sukarelawan IMARET mendapati banyak pelarian mengidap penyakit bawaan air kerana sumber air terawat terhad.
“Kita dapati banyak pelarian yang mengidap penyakit bawaan air dengan simptom cirit birit, muntah hinggalah dehidrasi. Memang banyak pihak bina telaga tiub di sini, tetapi ia hanyalah bekalan air bersih bukan air terawat.
“Kita harap pemasangan sistem SafeWhere akan membantu menangani masalah penyakit bawaan air dengan memastikan air yang mereka minum bukan hanya bersih, tetapi selamat,” katanya di kem pelarian Rohingya di Balukhali.
Dr Ahmad Munawwar Helmi mengetuai misi IMARET SafeWhere tiba di Cox’s Bazar sejak Jumaat lalu.
Misi kemanusiaan dianggotai enam petugas dan sukarelawan IMARET itu turut disertai Kol Dr Mohd Arshil Moideen dari Perkhidmatan Kesihatan ATM yang bertanggungjawab membangunkan sistem SafeWhere sejak 2011 bermula di Afghanistan.
Krisis kebanjiran pelarian Rohingya dari Myanmar sejak Ogos tahun lalu menyaksikan lebih 700,000 pelarian baru masuk ke Bangladesh untuk berlindung dari operasi berdarah tentera Myanmar di wilayah Rakhine.
Kini terdapat lebih 1.2 juta pelarian Rohingya yang berada di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar.
Kebanjiran pelarian Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh itu mendapat perhatian dunia termasuk Malaysia yang menerima kesan buruk daripada konflik yang menguji hubungan negara-negara ASEAN sejak sekian lama.
Sistem rawatan air SafeWhere yang mula dipasang di kem pelarian Rohingya di kawasan Ukhia, Cox’s Bazar adalah hasil sumbangan Yayasan Hasanah dan rakyat Malaysia yang prihatin dalam isu pelarian etnik tidak bernegara itu.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment