Bagi yang pernah menunaikan
haji atau umrah, gelagat dan cara polis Saudi mengawal jemaah di Masjidil Haram
dan Masjid Nabawi tentu menarik perhatian mereka.
Kejadian jemaah diherdik,
dihalau daripada berkumpul dan duduk menunggu masuk waktu solat di sesuau
tempat, adalah perkara biasa.
Senyuman di wajah anggota
keselamatan memang di dua tempat itu memang susah didapati.
Akibatnya, ramai membuat
kesimpulan bahawa anggota pasukan di dua masjid itu terdiri daripada mereka
yang garang dan tak kenal budi bicara.
Sebelum ini, saya juga
beranggapan begitu. Jauh bezanya dengan sikap dan pendekatan anggota pasukan
keselamatan kita yang bertugas mengawal orang ramai di tempat tertentu,
lebih-lebih lagi di masjid dan rumah ibadat lain.
Bagaimanapun, tanggapan saya
ini berubah setelah mengamati keadaan di Masjidil Haram selama kira-kira dua
jam sementara menunggu masuk waktu solat subuh tadi. Ternyata, kedegilan serta
sikap suka membantah dan bertengkar, terutama oleh warga beberapa negara timur
tengah dan Asia, terhadap peraturan yang ditetapkan, memerlukan anggota pasukan
keselamatan di masjid berkenaan bersikap tegas dan kelihatan kasar juga.
Jika tidak, peraturan hanya
tinggal peraturan semata-mata dan seterusnya menyusahkan seluruh jemaah.
Contohnya, ada kelompok jemaah
yang datang lewat dan terus duduk di bahagian yang diletakkan hadangan sebagai
laluan.
Jika pihak keselamatan
berlembut, mereka akan terus duduk di situ dan ini sudah pasti menyusahkan
jemaah lain.
Kecekapan anggota keselamatan
dalam menyusun ruang untuk menunaikan solat mengikut aliran keluar masuk jemaah
menghasilkan suasana teratur untuk para jemaah beribadat, walaupun jumlah
mereka mencapai puluhan ribu pada satu-satu masa.
Ternyata, disiplin, tertib,
mematuhi peraturan sangat penting bagi manusia, lebih-lebih lagi dalam perkara
berkaitan ibadat.
Satu perkara yang perlu
disebut ialah dalam pengamatan saya, jemaah dari Malaysia adalah antara yang
paling tertib semasa berada di Masjidil Haram.
No comments:
Post a Comment