Ingatan
Ketua Penerbitan Berita dan Program Bernama News Channel (BNC) Letfee Ahmad menjengah seketika pagi ini suatu detik yang dilalui genap lima tahun lalu.
Semasa
itu beliau menjadi Pengurus Berita di Bernama Radio dan mengendalikan program
mingguan “Bersama Wartawan” yang ke udara setiap Ahad selama satu jam.
Program
itu mengundang wartawan dari pelbagai pertubuhan media untuk berkongsi
pengalaman mereka.
Ia
juga menjadi bahan bagi blog ini sebagaimana tulisan berikut yang diulang-siar
atas cadangan Letfee.
Sunday, 25 August 2013
Bernama 'universiti' sebenar …
Menemuramah sumber berita
adalah perkara lumrah bagi seseorang wartawan tetapi apabila beliau pula yang
ditemubual, perasaan gemuruh tetap terasa.
Inilah pengalaman yang dilalui
Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Ahmad Zukiman Zain
ketika muncul dalam program “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 yang
disiarkan secara langsung pagi ini.
“Biasanya wartawan yang
interviu orang tapi kali ini terbalik… ini satu pengalaman yang baru bagi saya
walaupun perkara seperti ini adalah sesuatu yang harus kita hadapi,” katanya
kepada peneraju Wan Yuzaini Wan Yahya.
“Mendengar siaran yang
lepas-lepas, ada juga tergerak hati kenapa kita tidak share (kongsi) pengalaman…dulu ada tradisi
lisan dari satu generasi ke generasi lain yang kita belajar dan saya anggap
siaran ini untuk berkongsi pengalaman selama berkhidmat dalam organisasi ini,”
katanya.
Beliau menyertai Bernama
sebagai pemberita kadet pada tahun 1980, dua tahun selepas menamatkan
persekolahan di Victoria Institution Kuala Lumpur.
“Ketika memohon masuk Bernama,
saya tak tahu apa sebenar kerjanya…tengok dalam suratkhabar iklan cadet
reporter dengan kelulusan M.C.E. dan baik dalam matapelajaran bahasa Malaysia
dan bahasa Inggeris,” katanya.
Setelah berjaya dalam temuduga
yang turut meliputi ujian bertulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia,
beliau mula bekerja tanpa sebarang asas kewartawanan tetapi menimba pengalaman
daripada tugasan demi tugasan yang dilakukan.
“Pekerjaan yang saya minta
secara suka-suka akhirnya saya jadi suka…ia bukan setakat menjadi kerja tetapi
kerjaya yang mendewasakan saya,” kata Zukiman yang terus berkhidmat dalam
organisasi ini setelah 33 tahun.
Pengalaman sebagai wartawan
memberikan beliau peluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat “dari
perdana menteri sehinggalah orang biasa” dan
ini mewarnai kehidupannya.
Ketika ditanya apa yang
mendorongnya untuk belajar dalam kesibukan bekerja, beliau berkata kehendak dan
keperluan semasa mendesak kita supaya memahirkan diri, mencari ilmu supaya kita
boleh tampil dengan lebih baik dalam pekerjaan.
“Saya terhutang budi kepada
UITM (ketika itu ITM), kerana membuka Kajian Sebaran Am untuk penuntut luar
kampus…saya adalah kumpulan pertama KLK (Kajian Luar Kampus)nya pada tahun
1986,” katanya.
Setelah memperolehi ijazah
sarjana muda (kewartawanan) dari UITM pada tahun 1990, beliau membuat keputusan untuk
menyambung belajar selepas 10 tahun dan
memperolehi ijazah sarjana dalam bidang komunikasi dari Universiti Putra
Malaysia (UPM) pada tahun 2002, juga
secara sambil bekerja.
“Walaupun ada kelulusan dari
UITM dan sarjana dari UPM tetapi universiti saya sebenar ialah Bernama...banyak
saya belajar melalui Bernama,” katanya yang dihantar bertugas di Kelantan pada
tahun 1982 selepas pendedahan awal di ibu pejabat.
Beliau kemudiannya dilantik
sebagai ketua biro Melaka pada tahun 1984, pewarta Singapura (1993 hingga 1996)
dan merupakan anggota kumpulan perintis perkhidmatan audio-visual pada November 1999 yang menjadi asas kepada
penubuhan Bernama TV.
Zukiman juga ditanya mengenai
pengalamannya menyertai Press Fellowship di Universiti Cambridge pada tahun
2004 setelah mendapat anugerah Chavening dari kerajaan British.
Menurutnya, fellowship selama
satu penggal (selama 10 minggu) di universiti
ulung itu adalah untuk kajian bertajuk “The profiling of Muslims by the
British media” memandangkan ‘Islamophobia’ terus membelenggu masyarakat Barat
ekoran peristiwa 11 September 2001.
Ketika ditanya bagaimana
beliau membahagi masa untuk belajar sambil
bekerja, Zukiman berkata kita tidak boleh berhenti belajar jika ingin
memperbaiki diri kita.
“Ia juga manifestasi mengenai
peluang yang luas untuk melanjutkan pelajaran di negara kita…tepuk dada tanya
selera.
“Semasa saya belajar dulu,
bukan sebab Bernama suruh pergi belajar tetapi sebab peluang itu ada walaupun
ketika itu tiada kemudahan canggih seperti
internet.
“Kita tidak boleh rest on our
laurels, cukup dengan apa yang kita ada
dari segi ilmu.
“Saya datang dari generasi
mesin taip yang langsung tidak mengetahui mengenai komputer pada mula-mula
diperkenalkan dan terpaksalah belajar kerana ia keperluan.
“Sebab itu di Bernama, kita
ada Bernama School of Journalism yang mempunyai
pelbagai modul untuk memahirkan lagi wartawan-wartawan mengenai selok
belok penulisan berita.
“Kursus-kursus ini
dikendalikan oleh wartawan-wartawan kanan, malah Pengurus Besar Datuk Yong (Soo
Heong) dan Ketua Pengarang (Datuk Zulkefli Salleh) sendiri turun padang untuk
mengajar.
“Memang harapan orang lama
seperti kami ini untuk berkongsi ilmu…bayangkan kalau organisasi kita ini
mempunyai tenaga yang competent (cekap), organisasi kita dengan sendiri akan
lebih berketerampilan,” katanya.
No comments:
Post a Comment