“Sepanjang 12 hari berada di
Makkah, antara rutin harianku ialah duduk bersantai di depan tempat penginapan
selepas sarapan sambil memerhati suasana sekeliling. Banyak perkara dan cerita
yang dapat dikutip untuk dijadikan renungan. Antaranya:
1. Seorang jemaah dari Tunisia
menghampiriku dan meminta ihsan supaya dia dapat menikmati sarapan. Dalam
bahasa isyarat dan andaianku, jemaah ini kekurangan wang setelah sebahagian
besar wangnya digunakan untuk tambang perjalanannya ke sini bagi menunaikan
ibadah haji - tinggi sungguh semangatnya untuk menunaikan rukun Islam kelima.
2. Dalam perbualan antara
sekumpulan jemaah dari Malaysia, seorang lelaki mengeluh dengan harga makanan
di sini. Katanya, mujurlah TH (Tabung Haji) menyediakan makan minum. Kalau kena keluarkan
wang sendiri untuk membeli makanan seperti jemaah dari negara lain, peritlah
hidupnya sebagai orang kerja kampung untuk menyara diri selama 40 hari berada
di Makkah. Apa tidaknya! Sebungkus bihun goreng macam yang dihidang di kantin
sekolah pun berharga SR5. - bertuahnya rakyat Malaysia kerana ada Tabung Haji.
3. Setiap kali selepas solat
fardu, kaki lima di sini bertukar menjadi pasar jalanan. Bermacam-macam orang
berniaga dan pelbagai barang diniagakan. Paling menarik perhatian ialah
penglibatan kanak-kanak dalam perniagaan. Di Malaysia, ramai kanak-kanak sebaya
mereka masih makan bersuap dan mempunyi banyak masa untuk bermain dengan
pelbagai gadget serta telefon bimbit. - Semoga kanak-kanak berkenaan menjadi
saudagar besar di kota Makkah suatu hari nanti.
4. Ramai kawan-kawan bersyukur
kerana dapat meninggalkan tabiat merokok dalam tempoh menunaikan ibadah haji.
Tetapi ada juga yang tidak dapat membuang tabiat itu. Kumpulan ini dapat
dilihat melampiaskan ketagihan mereka di tembok berhampiran tempat penginapan.
- Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
5. Seorang lelaki dari Benua
Asia saban hari memujuk orang ramai yang melintas tempat penginapanku supaya
membeli tasbih yang didakwanya diperbuat daripada kayu koka. Harganya SR10
seutas. Bagaimanapun, seorang lelaki keturunan Pattani yang bermastautin di
sini memberitahuku, tasbih itu diperbuat daripada kayu biasa. Katanya, kayu koka
asli sukar didapati dan kalau ada pun tasbih yang diperbuat daripada kayu koka,
harganya adalah beribu Rial. - Penipu Ada Di Mana-mana”
No comments:
Post a Comment