Oleh Amrizan Madian
"Kalimah
Allah" menjadi pengikat yang mendekatkan sektor korporat dan badan bukan
kerajaan (NGO) dari Malaysia dengan masyarakat Islam Cham yang tinggal dalam
perahu di Sungai Mekong di Phnom Penh.
Ketua
Hal Ehwal Islam masyarakat di situ, yang dikenali sebagai Tok Adam berkata atas
semangat persaudaraan Islam, kesusahan hidup penduduk Kampong Chapa Empov telah
mendapat simpati rakyat Malaysia.
Tok Adam |
"Kalimah
Allah telah mendekatkan kami kepada rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib
kami yang hidup susah di atas perahu di Sungai Mekong hari ini.
"Kami
tidak minta untuk dibantu tapi syukur dengan semangat persaudaraan Islam ini,
orang Malaysia datang ke sini untuk membantu kami," katanya kepada Bernama.
Menurutnya
perkampungan itu wujud sejak 1979 kesan daripada peperangan dan kekejaman zaman
rejim Pol Pot sekitar tahun 70-an.
Katanya
akibat peperangan itu mereka yang kebanyakannya berasal dari beberapa wilayah
di hulu Sungai Mekong terpaksa melarikan diri dan meninggalkan kampung halaman
di daratan.
"Kami
memang ada menanam impian untuk tinggal di daratan, tapi apakan daya kami tidak
mampu dan miskin," katanya.
Ketika
ini terdapat sekitar 190 keluarga masyarakat Islam Cham masih tinggal dalam
perahu yang mampu memuatkan kira-kira tujuh hingga lapan ahli keluarga.
Kebanyakan
mereka menjadi nelayan sungai dengan menjadikan hasil tangkapan ikan air tawar
sebagai sumber rezeki utama selain bekerja sebagai buruh kasar sekitar Phnom
Penh.
Pengerusi
Yayasan As-Syafie Mohd Zamerey Abdul Razak berkata ketika ini pihaknya dengan
kerjasama Bank Rakyat serta beberapa lagi bank di Malaysia serta individu
tertentu turun membantu membela nasib penduduk Islam yang tinggal dalam perahu
di Sungai Mekong sejak beberapa tahun lalu.
Beliau
berkata bantuan bukan setakat daripada segi keperluan asas seperti makanan,
namun apa yang lebih penting ialah untuk memberi mereka peluang mendapat
pendidikan akademik yang lebih baik bermula tingkatan satu hingga tingkatan
enam.
"Sebagaimana
matlamat penubuhan Maahad Imam Syafie di Kampot, kita mahu lebih ramai
anak-anak penduduk di kampung atas perahu ini merebut peluang itu.
"Kita
tidak mahu beri mereka ikan, tapi kita mahu beri mereka ilmu, kerana hanya
dengan ilmu mereka dapat mengubah nasib mereka di masa hadapan," katanya.
Beliau
berkata matlamat yayasan itu adalah untuk melahirkan mukmin profesional selain
mukmin yang ada jati diri dan etika seorang Islam.
"Saya
menyeru NGO di Malaysia agar dapat sama-sama membantu dan membuat program
bersepadu khasnya dalam aspek pendidikan untuk masyarakat Islam di
Kemboja," katanya.
Ketika
menyantuni penduduk Kampung Chapa Empov, pihak yayasan dengan kerjasama Bank
Rakyat dan Surau Al-Barakah menyampaikan sumbangan beras kepada 190 keluarga
(lima kilo setiap keluarga) penduduk atas perahu di Sungai Mekong sempena
Kembara Kemanusiaan Kemboja 2018 di bawah program Sinar Aidiladha 1439H.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment