Penyunting
Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) saudara Shamsudin Puteh, yang berada di
Mina, mengutus ucapan Aidil Adha kepada
semua rakan dan saudara mara.
“Semoga
sdr semua sentiasa dirahmati Allah. Saya menyambut Aidil Adha hari ni dengan
melontar jamrah.
“Walaupun
tiada hidangan kuih atau masakan daging korban, tapi kemeriahannya amat terasa
di dalam jiwa,” menurut catatannya di Facebook.
Kesemua
30,200 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Mina semalam setelah bermabid di
Muzdalifah dan selesai melontar di jamrah qubra untuk mendapatkan tahallul
awwal.
Mereka
bermalam di Mina sekurang-kurangnya enam jam setiap hari selama tiga hari
sebelum melakukan lontaran di tiga jamrah - Sughra, Wusta dan Qubra - sehari
untuk tiga hari tasyrik, 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi melengkapkan ibadah haji
mereka.
Wartawan
Bernama Zarul Effendi Razali, yang menyertai rombongan media Tabung Haji (TH),
melaporkan dari Mina mengenai perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh TH.
Penambahbaikan
perkhidmatan kesihatan yang dilakukan Rombongan Perubatan (RP) Tabung Haji (TH)
di tanah suci boleh dianggap berjaya apabila jumlah kematian dan jemaah yang
dimasukkan ke wad berkurang setiap tahun.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata inisiatif baharu yang telah dijalankan oleh RP TH sejak
beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penubuhan Pusat Rawatan Syisyah telah
berjaya mencapai objektif dalam mengurangkan bilangan jemaah yang jatuh sakit
dan meninggal dunia semasa di tanah suci.
"Pusat
rawatan ini telah ditubuhkan dua tahun yang lalu dan penambahbaikan yang
dilakukan pada tahun ini adalah perkhidmatan pembedahan mini, bilik isolasi dan
dua buah ambulans mini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat
Rawatan TH Syisyah di Mina hari ini.
Katanya
berbanding dua tahun lepas, perkhidmatan di pusat rawatan itu telah banyak
dipertingkatkan dari segi kualiti supaya jemaah haji Malaysia boleh mendapatkan
khidmat perubatan yang terbaik di tanah suci dengan percuma.
Mujahid
berkata Program Safari Wukuf yang diperkenalkan bermula 2016 juga dilihat telah
berjaya membantu para pesakit yang tidak mampu untuk berjalan untuk hadir di
Padang Arafah semasa waktu wukuf dengan menaiki bas yang telah diubah suai
menjadi hospital bergerak.
"Bagi
tahun ini, RP mempunyai lapan buah bas yang telah diubah suai untuk membawa 117
orang jemaah kita yang sakit bersama-sama 78 orang petugas kesihatan dan enam
petugas kebajikan untuk menunaikan ibadah wukuf yang merupakan kemuncak kepada
ibadah haji itu sendiri," katanya.
Bagaimanapun,
katanya terdapat empat orang jemaah haji Malaysia yang tidak dapat berwukuf
pada tahun ini disebabkan koma dan sedang ditempatkan di hospital Arab Saudi di
Makkah.
Menurut
Mujahid, 10 kematian dicatatkan pada musim haji 1439H setakat ini berbanding
dengan 25 kematian jemaah haji Malaysia pada tahun lepas.
"Daripada
10 kematian tersebut, sembilan daripadanya meninggal dunia sebelum tarikh wukuf
(di Arafah) manakala seorang jemaah kita meninggal selepas wukuf, dilaporkan
akibat masalah jantung.
"Dari
segi perbandingan (jumlah kematian pada tahun ini dan tahun lepas), ia
menunjukkan bahawa persiapan dan inisiatif yang kita jalankan untuk
mengurangkan kadar kematian telah berjaya," katanya.
Setakat
ini, beliau berkata 16 orang jemaah Malaysia ditempatkan di hospital tempatan
manakala 149 jemaah yang sakit pula ditempatkan di pusat-pusat rawatan TH,
kesemuanya di Makkah.
Selain
daripada penambahbaikan di pusat rawatan TH, Mujahid berkata pengenalan perkhidmatan
kesihatan awam yang menjalankan ceramah dan lawatan dari bilik ke bilik juga
turut membantu dalam mengurangkan jumlah pesakit dan kematian jemaah haji
Malaysia tahun ini.
"Tahun
ini, kita ada pegawai perubatan awam yang melawat dari bilik ke bilik untuk
secara proaktif mengenal pasti lebih awal jemaah haji kita yang kurang sihat
untuk mendapatkan rawatan awal dan seterusnya mencegah penyakit mereka daripada
bertambah teruk menjelang wukuf," katanya.
No comments:
Post a Comment