Penyunting Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Saudara Shamsudin Puteh, yang selesai menunaikan semua rukun dan wajib haji hari ini, mendoakan semoga ibadah dan amalannya itu diterima Allah Subhanahu Wataala.
“Sebagai
insan serba lemah, itu sahajalah yang terdaya aku lakukan. Kepada saudara mara
dan rakan taulan, sudahku lafazkan doa seperti yang saudara amanahkan dan
sama-samalah kita mendoakan lagi agar Allah memakbulkannya,” katanya menerusi
catatan dalam Facebook.
Dalam
satu lagi catatan, beliau berkongsi kisah berikut dengan tajuk “Rezeki Musim
Haji”.
"Assalamualaikum. Bapak
dari Kuala Lumpur? Rasanya kita pernah ketemu."
Demikian sapaan seorang lelaki
ketika saya sedang bersantai dan memerhati keadaan di depan hotel penginapan,
Zuwar Albait, tidak jauh dari Masjidil Haram. Pelbagai tanggapan terlintas di
fikiran dengan sapaan itu, termasuk yang negatif. Astaghfirullah! Setelah
berbual seketika, lelaki berkenaan berkata dia rasa pernah bersua dengan saya
di Masjid India, Kuala Lumpur semasa dia mengikuti rombongan Jemaah Tabligh
suatu masa dulu. Baru saya teringat, ketika bertugas dengan Jabatan Penerangan
di Jalan Tun Perak, saya selalu juga menunaikan solat di masjid itu, yang
menjadi markas Jemaah Tabligh, sebelum terbina masjid di Seri Petaling yang
menjadi markas baru gerakan itu.
Diringkaskan cerita, lelaki
berketurunan Indonesia itu tinggal di kawasan perkampungan di hujung jalan
hotel penginapan saya. Menurutnya, perkampungan itu menjadi tempat tinggal
mereka yang berasal dari Indonesia, Tanah Melayu dan Pattani. Kewarganegaraan
mereka tidak dapat saya pastikan. Lelaki bernama Haris itu berkata, musim haji
dan umrah memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan dengan memberi
perkhidmatan menolak jemaah yang uzur untuk mengerjakan tawaf dan saie dengan
kadar bayaran tertentu. Mereka juga memberi khidmat berkaitan upah haji. Berdasarkan
latarbelakang pendidikan agama mereka, rasa saya khidmat mereka boleh
dipercayai. Haris turut memberi kadnya untuk disebarkan kepada sesiapa yang
ingin mendapatkan perkhidmatannya.
Haris berjanji untuk membawa
saya melawat perkampungan mereka jika ada kelapangan. Saya amat teruja untuk ke
situ. Tentu banyak cerita yang boleh dikutip dari mereka.
Ternyata, musim haji membuka
pelbagai kemungkinan, termasuk bertemu dengan saudara seagama dari seluruh
pelosok alam. Kebanyakan mereka yang saya temui, tahu tentang Malaysia dan
kagum dengan pencapaian umat Islam di negara bertuah itu.
No comments:
Post a Comment