Wednesday, 1 November 2017

Wartawan Bernama raih anugerah media Negeri Sembilan

Wartawan Bernama Nur Natasha Aida Ismail memenangi Anugerah Media Portal Berita pada Majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2017 di Seremban malam ini.
Beliau yang diwakili rakan setugas Bernama Amanina Mohamad Yusof, menerima sijil, plak dan wang tunai RM2,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Wartawan Sinar Harian menerima Anugerah Wartawan Cemerlang Bahasa Melayu, New Straits Times menerima Anugerah Wartawan Cemerlang Bahasa Inggeris , Nanyang Siang Pau menerima Anugerah Cemerlang Bahasa Cina dan Tamil Nesan menerima Anugerah Cemerlang Bahasa Tamil.
RTM pula mengungguli tiga anugerah iaitu Anugerah Wartawan Televisyen dan Radio Cemerlang serta Jurukamera Televisyen Cemerlang.
Bagi Anugerah Rencana Cemerlang, ia dimenangi Berita Harian manakala Anugerah Rencana Cemerlang Pembangunan Negeri dimenangi oleh wartawan The Star bagi kategori Individu dan Smart Time Tech (The Negeri Sembilan Future) kategori jabatan.
Kesemua pemenang membawa pulang sijil, plak dan wang tunai RM2,000.
Abnor Hamizam Abd Manap dari Harian Metro menerima Anugerah Kewartawanan Sri Sembilan dengan membawa pulang sijil, plak dan wang tunai RM6,000.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata peranan penulis amat diperlukan dalam mendidik jiwa masyarakat.
"Sememangnya kita nak kejar negara maju, tapi tidak ada gunanya kalau rakyatnya tidak ada jiwa," katanya.
Beliau berharap semua penulis termasuk wartawan terus memupuk jiwa masyarakat dan bagi penulis serta wartawan yang tidak bernasib baik kali ini diminta agar terus berkarya bagi membentuk jiwa anak bangsa.
Majlis turut dihadiri Exco Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk majlis berkenaan Datuk Abd Razak Ab Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan serta barisan exco kerajaan negeri.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment