Tuesday, 14 November 2017

Puisi Ridzuan pikat hati juri ...

Penolong Pengurus Pusat Kecemerlangan Ridzuan Mohd Ghazali mendapat Hadiah Penghargaan Kategori Puisi dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2016 yang diadakan malam tadi di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Beliau membawa pulang wang RM1,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan pada majlis yang disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.
Menggunakan nama pena Iwan Reaz, puisi berjudul  'Siapa Sudi Membina Kubu Denganku?' itu disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 10 Januari 2016.
“Ilham untuk menulis puisi ini hadir daripada perasaan ralat apabila saya kerap kali melihat pengunjung-pengunjung pasaraya dan hentian R&R, menunaikan solat secara bersendirian di surau yang disediakan.
“Puisi ini tidak mengambil masa yang lama untuk ditulis. Sehari sahaja sudah siap,” kata Ridzuan.
“Asalnya, saya bercadang mahu menghantar puisi ini ke sebuah majalah agama. Tetapi hati saya tergerak pula untuk menghantar ke akhbar Mingguan Malaysia.
“Alhamdulillah, ada hikmahnya,” kata beliau.
Menurut laporan penilaian Panel Juri, tumpuan kepada mendirikan solat secara berjemaah bukan sahaja penting akan tetapi menjadi tuntutan yang dijanjikan ganjaran pahala yang diangkat menjadi subjek dalam ‘Siapa Sudi Membina Kubu Denganku?’.
Hakikat tuntutan berjemaah ini tambah dirasakan apabila dimunculkan gambaran bagaimana ‘luluh sang hati/ menyaksi ramainya memilih/ bersendiri/ untuk menghadap Ilahi’.
Ada kewajaran akan kekesalan yang timbul sekalipun ‘berbondong-bondong umat manusia/ terdorong menegakkan tonggak agama’.
Garapan selanjutnya mecuitkan harapan agar jemaah tampil bersama ‘membina kubu-kubu’ demi ‘mendamba reda yang Esa’.
Kekuatan karya ini terletak pada muatan isi yang didukung diksi yang langsung maknanya, kata panel juri.
Dengan diksi yang relatif umum ini dikutip daripada kata-kata penggunaan sehari-harian, tetapi ia direlevankan dengan mesej yang hendak ditonjolkan.
Sungguhpun demikian, keupayaan garapan dengan menyuntik beberapa ungkapan puitis seumpama ‘bendang-bendang hiburan’, ‘hati menitahkan kaki’, ‘atma penggugur dosa’ dan ‘membina kubu-kubu jemaah’.
Ungkapan ini mudah menyelinap masuk ke resepsi pembaca, sekaligus membina makna.
Makna yang disisipkan ke minda pembaca menunjangkan mesej akan kekuatan (‘kubu’) amalan berjemaah dalam Islam.    
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar selaku syarikat korporat yang menjadi penaja utama HSKU 2016 dan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas.
Abdul Wahid ketika berucap berkata penganjuran HSKU 2016 mampu menggilap bakat sasterawan baharu dan pada masa sama memberi peluang kepada sasterawan tersohor untuk terus berkarya.
“HSKU 2016 ini juga suatu wadah perjuangan dalam memartabatkan dunia penulisan dan kesusasteraan  kepada masyarakat dalam membantu pembentukan bangsa yang kukuh jati dirinya," katanya.

No comments:

Post a Comment