Saturday, 11 November 2017

Kekecewaan bukan lesen untuk mencaci...

Pewarta Bernama di Bangkok Mohd Haikal Isa menaiki bas ekspres untuk ke Buriram di pantai laut Thailand bagi membuat liputan perlawanan bolasepak kelayakan Piala Asia antara Malaysia dengan Korea Utara.
Perjalanan lebih 350km itu mengambil masa kira-kira lima jam.
Sepertimana penyokong Malaysia yang mengharapkan kemenangan, Haikal sedar misi getir yang dihadapi.
“Kekalahan 1-4 Harimau Malaya kepada Korea Utara malam tadi sepatutnya tidak memeranjatkan peminat bolasepak tempatan.
“Ini kerana, taraf bolasepak kita dengan Korea Utara agak jauh berbeza dengan mereka yang sudah pun pernah beraksi di pentas Piala Dunia dan kerap muncul dalam pertandingan tertinggi peringkat Asia yang lain.
Bagi Haikal, taraf bolasepak Korea Utara sebenarnya tidak jauh berbeza dengan Korea Selatan.
“Kedua-duanya jagoan Asia,” kata beliau.
Sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup oleh pengadil dari Arab Saudi, mereka yang berada di Stadium i-mobile di Buriram sudah dapat melihat jurang taraf bolasepak antara kedua-dua pasukan.
Corak permainan pasukan Korea Utara yang dibimbing jurulatih kelahiran Norway tetapi mempunyai kerakyatan Jerman, Jorn Andersen amat teratur dan kemas, dengan hantaran-hantaran tepat berbanding pasukan Harimau Malaya.
Ada di kalangan pemain Korea Utara beraksi di liga-liga di Jepun dan Eropah.
Bermula daripada minit pertama, pemain-pemain Malaysia lebih banyak berkubu dalam kawasan sendiri dan hanya sekali-sekala melakukan serangan balas.
Gol pertama hadir seawal minit ke-12 menerusi sepakan penalti hasil serangan bertali arus pasukan Korea Utara dan selepas itu, prestasi pemain-pemain Malaysia terus menurun sehinggalah ke wisel penamat dengan kedudukan mengecewakan itu.
"Di antara 20 hingga 30 penyokong Malaysia yang sanggup menempuh perjalanan jauh dari tanahair ke stadium keramat milik juara Liga Thailand, Buriram United itu memang ternyata kecewa.
“Saya juga kecewa.
"Bagaimanapun, perasaan kecewa itu sepatutnya bukan lesen kepada segelintir penyokong negara itu untuk bertindak keterlaluan selepas perlawanan itu dengan menghamburkan kata-kata cacian dan makian kepada pemain-pemain.
“Sudahlah kalah, dimaki pula.
“Hooliganisme sememangnya tiada tempat di dalam dunia bolasepak atau apa-apa sukan di Malaysia.
“Ingat, ia hanyalah sukan,” kata Haikal.

No comments:

Post a Comment