Saturday, 25 November 2017

Kurnia bersyukur kejayaan berganda...

Dua malam berturut-turut naik pentas untuk menerima anugerah membuatkan wartawan Kurniawati Kamarudin rasa bersyukur.
“Diri ini terlalu kerdil dengan nikmat yang diberikan,” katanya.
“Tentunya kedua-dua anugerah ini menjadikan saya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk menghasilkan rencana yang lebih baik untuk masa-masa akan datang,” katanya.
Rencananya bertajuk ‘Pulau Banggi Tidak Akan Terpinggir Lagi’ merangkul anugerah kategori Media Cetak dan Portal Berita Dalam Talian (Berita dan Rencana) pada majlis Anugerah Media Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di ibu negara  malam tadi.
Malam sebelumnya beliau memenangi hadiah khas anjuran Malaysian Institute of Planners (MIP) -- THINKCITY MyPLACE AWARDS 2017 menerusi rencananya “Komuniti hidupkan kembali Sungai Bunus’.
Memulakan perkhidmatan sebagai pegawai berita di Bernama pada tahun 2000, Kurniawati berkata beliau menjadikan matlamat agar setiap penulisannya dapat memberi manfaat kepada semua pihak.
“Sebab itu setiap kali menulis, saya akan bayangkan keseluruhan aspek baik dari segi pembaca, orang yang diinterbiu serta kesan dari penulisan itu.
“Apabila kita menjiwai mudah untuk mencerap idea bagi menghasilkan sebuah rencana,” kata Kurniawati yang menyertai Meja Rencana sejak tujuh tahun lepas.
Katanya, beliau banyak menulis mengenai isu alam sekitar, sosial dan kemasyarakatan.
“Ia terlalu dekat dengan jiwa saya....apabila kita memahami dan mendalami subjek..mudah untuk kita mencanai idea.
“Kedua-dua subjek ini memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat keseluruhannya dan membolehkan kita menyelami kehidupan yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Beliau merupakan pemegang ijazah dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam pengkhususan bidang sejarah (arkeologi).
Sepanjang berkhidmat dengan Bernama, beliau pernah ditempatkan di Meja Jenayah selama sembilan tahun sebelum ditukarkan ke Meja Rencana pada tahun 2010.

No comments:

Post a Comment