Monday, 27 November 2017

MPI terbit buku '24 Karya Pemenang Anugerah Kajai'

Institut Akhbar Malaysia (MPI) telah menerbitkan buku berjudul '24 Karya Pemenang Anugerah Kajai' yang memuatkan karya pemenangnya sejak penganugerahan pertama pada 1982 sehingga kini.
Pengurus Kanan MPI Norlida Jamain berkata penerbitan buku itu bertujuan membantu pengamal media menghasilkan karya kewartawanan berkualiti, sekali gus membantu mereka meraih Anugerah Kajai.
"Jika wartawan terutamanya generasi muda meneliti karya-karya 24 pemenang anugerah itu, mereka juga berupaya untuk memenangi anugerah yang diberi setahun sekali menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Norlida berkata hanya satu karya tidak dapat dimuatkan dalam penerbitan berkenaan iaitu pemenang 1989, Noraini Nordin, dari akhbar Watan berikutan penulisannya yang tidak dapat dikesan.
Buku setebal 450 halaman itu sedang diedarkan di kedai-kedai buku utama, dengan harga pasaran RM100 manakala pembelian menerusi MPI berharga RM50 sahaja.
Kali pertama Bernama memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah utama kewartawanan Malaysia ialah pada 1980-an melalui Abdul Latiff Abu Bakar yang menghasilkan artikel berkenaan peristiwa Memali.
Ini diikuti Melati Mohd Ariff yang memenangi Anugerah Kajai pada 2009 menerusi laporan tiga sirinya mengenai pemanasan cuaca di pusat peranginan Cameron Highlands.
Melati yang menulis artikel bertajuk 'Mencari Dingin Udara di Cameron Highlands' memenangi hadiah wang tunai RM30,000 dan pingat emas 100 gram bernilai RM12,900.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment