Sunday, 19 November 2017

Skuad Bencana Sukarela Bernama…

Penubuhan Skuad Bencana Sukarela Bernama telah dicadangkan ekoran banjir di Pulau Pinang yang mengakibatkan kerosakan kepada pejabat biro Bernama.
Cadangan itu dibuat oleh Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abd Wahab ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama pada Isnin lepas.
Pasukan itu yang akan melibatkan semua peringkat kakitangan Bernama akan dikelolakan oleh Unit Komunikasi Koporat.
Unit itu telah diminta menjalankan langkah seterusnya bagi membolehkan petugas yang berminat menyertai skuad berkenaan yang diharap dapat ditubuhkan secepat mungkin.
Pasukan itu juga akan bertindak segera membantu mana-mana petugas Bernama yang ditimpa musibah seperti tanah runtuh dan rumah terbakar.
Timbalan Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Malaysia, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Noor Hammad Wariman berkata cadangan itu memang baik kerana sesuai dengan keadaan semasa di samping dapat menjalin silaturahim di kalangan warga Bernama.
“Ia bukan setakat membantu biro tetapi juga boleh membantu mangsa banjir atau musibah yang lain,” katanya.
Pada mesyuarat itu, Datuk Zakaria menyatakan penghargaan kepada pasukan dari ibu pejabat yang diketuai Pegawai Tadbir Bahagian Harta Shahrul Azim Rambli kerana membantu mencuci pejabat Biro Pulau Pinang yang dilanda banjir.
Sekiranya dijalankan oleh pihak lain, Bernama mungkin  terpaksa membayar sehingga  RM6,000. 
Datuk Zakaria juga memaklumkan bahawa ada cadangan hendak memindahkan pejabat biro Pulau Pinang ke tempat yang lebih sesuai  dan selamat.

No comments:

Post a Comment