Sunday, 5 November 2017

Banjir landa Biro Pulau Pinang...

Banjir yang disifatkan paling buruk melanda Pulau Pinang turut menjejaskan pejabat biro Bernama yang dinaiki air dan terputus bekalan elektrik.
Ketua Biro, Sharifah Nurliza Syed Mohammad berkata para petugas tidak boleh beroperasi dalam pejabat kerana tiada elektrik manakala permaidani semuanya rosak disebabkan banjir.
“Hari ni memang tak boleh nak guna ofis…esok nak kena bersihkan semua, rasanya dua, tiga hari jugalah operasi terganggu,” katanya.
Beliau berkata inilah kali pertama bajir melanda pejabat sejak empat tahun beliau berkhidmat di Pulau Pinang.
“Memanglah tak sangka sebab sebelum ini tak pernah berlaku,” katanya. .
Menurutnya, pejabat Bernama yang terletak di tingkat bawah bangunan empat tingkat itu memang berada dalam kawasan banjir kerana berdekatan sungai.
Air naik tengah malam tadi dan diperasan apabila petugas memasuki pejabat pagi ini.
Sharifah Nurliza berkata beliau perlu memikirkan bagaimana untuk meneruskan operasi biro terutama bagi melaporkan mengenai banjir.
Pulau Pinang dilanda banjir berikutan angin kuat dan hujan lebat lebih 15 jam bermula 2 petang semalam dan disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah.
Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini, kerajaan negeri melaporkan bahawa sebanyak 119 banjir kilat berlaku sejak 2013 hingga 15 Okt tahun ini dengan 21 kali dicatatkan pada tahun ini.
Berikutan hujan lebat dan angin kencang, Pulau Pinang lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah dilanda banjir selain menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.
Empat warga emas dilaporkan lemas manakala seorang warga Bangladesh maut dihempap pokok sementara rakan senegaranya dipercayai masih hilang.

No comments:

Post a Comment