Thursday, 2 November 2017

Rezeki anak dalam kandungan...

Wartawan Nur Natasha Aida Ismail menganggap kemenangannya merangkul  Anugerah Media Portal Berita pada Majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2017 malam tadi sebagai rezeki anak dalam kandungan.
“Memang tidak sangka untuk menang tetapi dalam masa yang sama teruja sebab berita yang dihasilkan dinilai dan dihargai melalui anugerah seperti ini,” katanya.
Beliau tidak dapat hadir pada majlis malam tadi disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Petang sebelum majlis, saya ada temujanji checkup kandungan saya yang dah berusia 6 bulan lebih dan saya telah diberikan suntikan ATT, jadi satu badan agak lemah dan tangan juga agak sukar digerakkan.
“Ini merupakan kehamilan saya yang pertama selepas mendirikan rumah tangga selama setahun lebih bersama suami tercinta Sharif Mohd Shirazi Al-Attas Bin Wan Sabli.
“Dan saya anggap kemenangan ini juga adalah merupakan rezeki anak,” kata Natasha.
Rakan setugas Bernama Amanina Mohamad Yusof mewakili beliau untuk menerima sijil, plak dan wang tunai RM2,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Seremban.
Laporan Natasha yang menang bertajuk “Bangunkan madu kelulut secara sistematik” dan “Madu kelulut asli bukan yang murah” yang turut disiarkan menerusi www.bernama.com -- portal Bernama yang dibaca di seluruh dunia.
“Saya berharap anugerah ini akan menjadi antara pendorong bagi saya sendiri untuk terus menghasilkan berita-berita yang bermutu, tepat dan lebih kreatif,” kata Natasha, 30, yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Beliau menyertai Bernama pada tahun 2011 dan ditempatkan di Meja Jenayah, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri sebelum ditukarkan ke biro Negeri Sembilan awal tahun 2016 sehingga sekarang.
“Cabaran dalam mencari sesuatu bahan berita itu memang ada apatah lagi apabila berada di negeri yang mana adakalanya bahan berita yang perlu kita cari itu jauh di kawasan perkampungan dan sebagainya.
“Namun itulah yang menjadi penyuntik semangat ibaratnya lagi sukar sesuatu berita itu nak diperoleh, lagi tinggi perasaan teruja untuk memastikan berita itu berjaya berada dalam genggaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment