Sunday, 12 November 2017

Nasi tak kandar lagi…


Tak sah kalau tidak menikmati nasi kandar jika berkunjung ke Pulau Pinang.
Walaupun nasi yang menjadi jualan tidak lagi dijaja dari satu tempat ke satu tempat, namun perkataan kandar tetap sinonim dengan makanan Pulau Mutiara itu.
Nasi Kandar didokumenkan sebagai satu jenis hidangan nasi kukus  yang turut disajikan dengan pelbagai kari dan lauk pauk seperti ayam, ikan, sotong dan lain-lain.
Perkataan Nasi Kandar timbul kerana pada zaman dahulu penjaja nasi menjinjing (mengandar) palang kayu yang menggantung dua bekas, satu nasi dan satu lagi lauk-pauk.
Nasi untuk dijadikan nasi kandar biasanya diletakkan dalam bekas kayu kira-kira tiga kaki tinggi yang memberi ia satu aroma yang tersendiri.
Hidangan nasi kandar dilengkapi dengan lauk seperti ayam goreng, kari limpa serta daging lembu, telur ikan, udang, sotong goreng dan telur rebus atau telur dadar.
Hidangan sayur pula biasanya adalah terung, bendi atau peria.
Satu campuran limpahan kari dituang pada nasi. Ini dipanggil 'banjir' yang menimbulkan rasa istimewa nasi tersebut.
Pegawai Tadbir Bahagian Harta, Shahrul Azim Rambli yang berada di Pulau Pinang minggu lepas untuk bergotong-royong membersih pejabat biro yang dilanda banjir tidak melepas peluang menikmati nasi kandar.
“Kalau singgah Pulau Pinang, tak pekena nasi kandar tak sah,” katanya yang berkunjung ke kedai berkenaan bersama-sama rakan-rakan lain dari ibu pejabat.
“Azhar Bahagian Teknikal Biro Pulau Pinang yang bawa kami ke sana,” katanya.
Ketua Penerbitan Berita dan Ehwal Semasa Bernama News Channel (BNC) Saudara Letfee Ahmad, yang pernah bertugas di RTM Pulau Pinang pada 1979 dan 1980, berkata ketika itu Nasi Kandar Craven A begitu popular.
“Di Penang, orang makan nasi kandar daripada sarapan hingga dinner,” katanya.
“Sampai pagi, restoran dan warung nasi kandar masih dipenuhi pelanggan dengan nasi dan lauk masih panas,” katanya.
Letfee berkata ada acara tersendiri untuk makan nasi kandar.
Boss saya, Pengarah Penyiaran Kawasan Utara Datuk Zainal Alam yang menjadi teman saya bersarapan nasi kandar di sebuah restoran (lupa nama) di hadapan Balai Polis Jelutung ketika itu yang ajar.
“Katanya pilihlah lauk kegemaran sama ada ikan, ayam atau daging tapi kuah mesti campur semua jenis.
“Mesti ada cili hijau dan bendi serta telur rebus.
“Air kopi O wajib dan tambah air lain ikut kegemaran seperti ais kosong atau apa saja.
“Cara makan...suap nasi, gigit cili atau bendi, kunyah dan hirup kopi O selepas setiap kunyahan..begitulah sehingga habis…Lepas tu baru minum air tambahan tadi.
“Keistimewaan nasi kandar terletak kepada karinya,” kata Letfee.
Walaupun restoran nasi kandar muncul di Kuala Lumpur dengan menggunakan nama “Pulau Pinang”, namun “peminat tegar” makanan itu menyatakan ia tidak dapat menandingi nasi kandar di negeri itu.
“Craven A terletak di Simpang Enam yang kini bangunan Komtar…Simpang Enam sekarang dah takde simpang,” kata Letfee.

No comments:

Post a Comment