Thursday, 9 November 2017

BNC siar travelog 'Saya Amoi Lah'...

Bernama News Channel (BNC) akan menyiarkan program travelog bertemakan budaya masyarakat Melayu di negara ini dari sudut pandangan seorang gadis Cina berjodol ‘Saya Amoi Lah!’.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata program 13 episod yang menggunakan bahasa Mandarin itu adalah hasil kerjasama BNC dengan syarikat produksi tempatan Educed Production Works Sdn Bhd.
Beliau berkata penyiaran travelog yang menyelusuri budaya masyarakat Melayu di seluruh negara itu dapat membantu penonton lebih memahami adat resam orang Melayu yang semakin dilupakan generasi baharu.
"Generasi baharu ini terutamanya yang menetap di kawasan bandar sudah terlalu banyak dipengaruhi budaya luar, budaya global yang sama sekali mengetepikan warisan bangsa dalam kehidupan seharian mereka,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Bernama dan Educed Production Works Sdn Bhd di Wisma Bernama hari ini .
Turut hadir  Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab dan Ketua Pegawai Operasi BNC Hakimi Mohd Zain.
MoU itu ditandatangani antara Zulkefli dan Pengarah Urusan Educed Production Works Sdn Bhd Muhaimin Yussof
Zulkefli berkata penyiaran program itu dapat mengetengahkan  pelbagai keunikan budaya, adat resam dan pantang larang masyarakat Melayu kepada generasi baharu dan kaum lain.
Bagi pengacara 'Saya Amoi Lah!' , Stella Chen,  travelog itu bakal membawa penonton seolah-olah pulang ke kampung menerusi rakaman visual budaya Melayu yang cukup menarik dan berwarna-warni.
Personaliti televisyen berusia 21 tahun itu berkata program terbabit akan menonjolkan pelbagai aktiviti yang terkenal sebagai acara tradisi masyarakat Melayu.
"Antaranya seperti majlis kenduri kahwin di kampung, majlis mantai di Negeri Sembilan, belajar membuat keropok lekor di Terengganu selain mempelajari tarian tradisional seperti Dondang Sayang (Melaka), Boria (Pulau Pinang) dan Zapin (Johor).
"Semuanya mempunyai keunikan tersendiri dan saya cukup teruja malah tidak sabar untuk berkongsi bersama penonton BNC," katanya.
Muhaimin pula berkata projek travelog berkenaan hasil suntikan dana daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)
"Saya Amoi Lah! dihasilkan dengan bantuan sepenuhnya menerusi DPIK (Dana Pembangunan Industri Kreatif) dan diharap ia bakal menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program bertemakan budaya dan adat resam masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment