Monday, 6 November 2017

Kemiskinan motivasi kejayaan...

Kejayaan usahawan Mohamad Azlan Abdullah menjadikan kemiskinan sebagai motivasi untuk mengubah kehidupannya merupakan inspirasi yang berguna.
Beliau berkongsi pengalamannya dalam segmen “Ïnspirasi Pagi” menerusi program NINE11 yang disiarkan Bernama News Channel pagi ini.  
Azlan, 30, yang telah menghasilkan buku berjodol “Dari Fakir ke Jutawan Hartanah”, memberikan petua keberkatan hidup setelah bergelar jutawan pada usia yang  muda.
Pada awal 1980-an dan 90-an, keluarganya yang mengandungi 21 orang adik-beradik seibu sebapa tergolong sebagai miskin tegar. Ayahnya seorang petani dan ibunya surirumah.
Dalam bancian yang dibuat, keluarganya merupakan keluarga termiskin di Kampung Tok Raja, Besut, Terengganu.
Selepas gagal memperolehi Sijil STP, Azlan memasuki Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di Bachok, Kelantan dengan menggunakan kelulusan SPMnya.
Bagi mencari pendapatan, beliau mengusahakan tanaman jagung seluas 13  ekar sewaktu belajar di kolej itu.
Bagaimanapun semasa tanaman itu hampir seminggu untuk dituai, ribut melanda menyebabkan kerosakan kepada tanaman jagungnya.
Ini menyebabkan beliau bertekad untuk berhenti belajar dan memohon restu daripada ibunya meninggalkan rumah dan tidak kembali selagi tidak berjaya mengubah kehidupan keluarga.
Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadhan 2010.
Dengan hanya berbekalkan RM1.30, beliau berkelana dan tidur di sebuah wakaf selama dua malam.
Kerana kelaparan, beliau menuju ke sebuah kedai sambil berdoa agar dapat bertemu sesiapa yang dikenalinya untuk membantunya.
Nasibnya baik apabila bertemu seorang bekas guru yang mengajaknya makan dan bertanyakan mengenai keadaannya yang comot.
Azlan menceritakan mengenai hasratnya mencari kerja dan merayu kepada bekas guru itu membantu memberikan apa jua kerja kepadanya.
Bekas guru itu meminta Azlan untuk menjual tanahnya.
Dengan izin Allah, keesokannya ada orang membeli dua lot tanah tersebut dan bekas guru itu memberikan Azlan komisyen RM4,000.
“Waktu itu, saya rasa RM4,000 besar sangat umpama boleh beli dunia…dari RM1.30 saya dapat RM4,000.
“Dari situ, saya berfikir bahawa kalau saya buat betul-betul kerana Allah, Allah akan bantu saya.
“Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan, saya dapat RM1 juta pertama.
“Daripada situlah masuk tahun 2011, saya pergi umrah dan apabila balik, saya bina perniagaan saya…
“Jatuh bangun pada peringkat awal dan akhirnya saya dapati saya mesti mencari kejayaan ini dengan mengikut syariat ke jalan Allah, barulah kejayaan itu akan hadir dalam bentuk hakiki dan hidup kita akan sentiasa ada panduan ilahi.
Beliau berkata ada ketika pada peringkat awal kejayaannya, beliau terleka seketika kerana “kita manusia hidup dibuai dan diulit kemewahan”.
“Allah menguji saya apabila saya jatuh daripada perniagaan dan kerugian lebih RM1 juta.
“Waktu itulah saya fikir saya harus bangkit kembali dan membina kehidupan sementara ini dengan jalan syariat yang betul.
“Saya mula ambil pelajar-pelajar miskin dengan apa yang Allah anugerah kepada saya…saya ambil lebih 100 pelajar miskin dari Kemboja, Vietnam, Indonesia dan Malaysia dan tempatkan mereka di pusat-pusat tahfiz dan beri pendidikan percuma sampai sekarang.
“Sebenarnya motivasi paling penting kenapa kita perlu guna harta yang Allah bagi ini ialah kita kena ingat apa yang Allah bagi ini adalah amanah yang bukan untuk digunakan (se)habis(nya) di dunia.
“Kita sebagai orang Islam, kita hanya duduk di dunia ini sekejap dan akan balik ke dunia yang abadi iaitu akhirat.
“Di situlah bergunanya apa yang kita tanam di ladang dunia ini dan kita akan ambil hasilnya di akhirat,” katanya.
Azlan turut berkongsi ‘petua’ ke arah keberkatan hidup.
“Alhamdulillah, berkat bersahabat dengan alim ulama, saya membaca hadis-hadis mengenai kemurahan rezeki.
“Allah menjamin rezeki bagi mereka yang menjaga solat fardhu lima waktu.
Itu rahsia pertama…menjaga solat fardhu.
“Yang kedua, saya memulakan hari saya setiap pagi dengan membaca al-Quran walaupun sedikit…kalau ada kelapangan, insyaAllah boleh tambah.
“Yang ketiga, saya mewajibkan diri saya dengan solat sunat Dhuha, yang mana dalam solat sunat Dhuha, Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda bahawa Allah akan memberi rezeki di langit agar turun ke bumi manakala di bumi akan dikeluarkan, yang jauh Allah akan bagi dekat, yang susah Allah bagi senang, yang haram Allah bagi halal.
“Saya juga jadikan bersedekah sebagai amalan setiap hari.
“dan akhir sekali, saya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa terutama ibu saya. Saya nak pergi mana-mana, saya mesti jumpa ibu saya, apa saya nak buat, saya minta doa dan keredhaannya.
“Apabila ibu kita redha dengan kita, bila dia suka, insyaAllah rezeki akan datang dengan mudah dan dijauhkan bencana.
Azlan juga berkata satu lagi prinsip hidupnya ialah memaafkan kesalahan orang lain terhadapnya manakala beliau juga meminta maaf sekiranya membuat kesilapan.
“Ringkasnya, jangan berdendam dengan sesiapa sebab kalau kita berdendam walau sebesar mana orang buat salah kepada kita, kita hanya membuatkan diri dan minda kita memikirkan benda yang tidak berfaedah, tak ada ketenangan.
“Jadi kita maafkanlah dan dari situ kita ada kelapangan hati…bila hati lapang, bila hati sakinah, rezeki akan datang,” katanya.
Azlan sedang mendirikan sebuah tahfiz di kampungnya di Kampung Tok Raja, Besut yang dijangka mengambil kemasukan pertama pelajar pertengahan tahun depan.  


No comments:

Post a Comment